Dr Tsana menceritakan, suatu ketika beliau selalu berada di kelas kedua. Beliau merasa malu dan tidak mahu lagi pergi ke sekolah. “Apabila musim persekolahan tiba, ayah berkata kepada saya, ‘Wahai Tsana, ayuh pergi sekolah.’ Saya tetap tidak mahu ke sekolah. Lalu ayah berkata lagi, ‘Baik, kamu sangat pandai memasak. Mungkin kamu boleh duduk di rumah, belajar memasak dan bantu ibu di dapur.’ Saya menangis mendengar kata-kata ayah. Kemudian ayah berkata lagi, ‘Kamu bantu saja ibu di rumah, ya.’ Tentu sahaja saya sangat takut dan terus mahu pergi ke sekolah. Ayah bertanya kepada saya, ‘Apakah kamu mahu belajar bersungguh-sungguh dan menguasai mata pelajaran yang diajar?’ Saya menjawab, ‘Ya, insyaAllah.’ Itulah ayah. Beliau tidak akan memaksa anak-anaknya melakukan sesuatu, tetapi mengarahkan kami dengan cara yang tepat. Kami malu dengannya, tetapi kami tidak takut kepadanya.” Ini gambaran Dr Tsana, anakanda ketiga kepada Imam Hassan al-Banna. Walaubagaimana pun, Ahmad Saiful Islam pula menyatakan; “Ayah sangat teliti dalam perhatiannya terhadap masalah pendidikan anak-anak. Contohnya; + 1. Ayah mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan guru sekolah dan kerap bertanya keadaan anak-anak di sekolah daripada guru-guru. +2. Ayah juga biasanya meminta para guru di sekolah membantu kami dalam beberapa aspek pelajaran yang kami anggap kurang penting. Guru Bahasa Arab saya dulu bernama Ustaz Ali. Beliau pernah memberikan tugasan kepada murid-murid supaya membeli buku tulis dan menulis syair-syair pilihannya. Beliau juga menyatakan, “Sesiapa yang menulis lebih banyak, beliau akan mendapat hadiah”. Jadi kami berusaha untuk memperolehi hadiah itu. Pada akhir tahun persekolahan, saya terkejut kerana hadiah yang diperkatakan oleh Ustaz Ali itu datangnya daripada ayah. Ternyata ayahlah yang mengarahkan guru Bahasa Arab kami untuk menguatkan aspek pelajaran yang saya anggap kurang penting. Cadangan ayah itu telah membuatkan prestasi Bahasa Arabku meningkat. +3. Jika ayah pulang ke rumah waktu malam, ayah akan bertanyakan kami mengenai pelajaran di sekolah. Ayah sangat bijak dalam Matematik. Ayah membantu saya menguasai mata pelajaran Matematik dan menyelesaikan soalan-soalan yang tidak mampu saya selesaikan. +4. Ayah juga meminta salah seorang sahabat supaya memantau sikap dan keadaan saya di sekolah. +5. Kadang-kala ayah meminta seorang sahabat untuk mengajar mata pelajaran yang saya kurang faham dan mahir.” Dr Tsana, anakanda Hassan al-Banna yang merupakan Pensyarah Urusan Pengaturan Rumah Tangga dan mengajar di beberapa buah universiti di Arab Saudi pula menambah; “Ayah selalu mendorong kami mendalami ilmu yang ingin kami kuasai pada masa hadapan. Ayah ingin menjadikan kami anak yang paling baik ketika belajar. Ini menyebabkan saya mendalami ilmu tertentu dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dalam jurusan ilmu ekonomi rumah tangga. Sekarang jurusan itu dinamakan jurusan rumah tangga.” Ahmad Saiful Islam, anakanda kedua kepada Iman Hassan al-Banna ini merupakan seorang peguam yang pada masa yang sama memegang jawatan sebagai setiausaha Jeneral Majlis Peguam Mesir dan juga bekas anggota parlimen Mesir. Beliau menambah cerita tentang ayahnya; “Ayah saya juga menyimpan semua sijil pelajaran anak-anaknya serta catatan-catatan tertentu seperti ‘Saif perlu memberi penekanan kepada subjek ini dan beliau lemah dalam subjek itu’ dan ‘Wafa perlu dibantu dalam subjek ini’. Begitulah secara kasarnya apa yang beliau lakukan terhadap setiap anaknya.” Iman Hassan al-Banna juga sangat menitikberatkan soal ilmu di kalangan anak-anaknya seperti mana yang diceritakan oleh Ahmad Saiful Islam; “Saya masih ingat pada suatu ketika ada sebahagian buku-buku perpusatakaan di rumah yang dimasukkan ke pejabat Asy Shihab. Kemudian ayah membeli sejumlah buku yang lain untuk diletakkan di rumah. Ayah berikan kepada saya sebuah perpustakaan yang sederhana. Ayah juga memberi wang tambahan setiap bulan sebagai dana membeli buku agar boleh memenuhi perpustakaan saya.” Kisah pesona seorang ayah mithali ini ada dinukilkan dalam buku ‘Cinta Di Rumah Hassan Al Banna’. Di sebalik kesibukannya sebagai pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir yang sibuk berjalan ke pelbagai daerah untuk menyampaikan dakwah, beliau masih sempat pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga. Beliau masih mempunyai masa untuk memantau perkembangan setiap anak-anaknya . Beliau selalu membuat perancangan untuk anak-anaknya dan memantau perlaksanaannya dalam bentuk carta. Malah beliau turut menyediakan catatan lengkap mengenai anak-anaknya sejak daripada kelahiran mereka. Dalam carta itu beliau menulis sendiri keterangan terperinci sejarah dan tarikh kelahiran, pola aturan makanan, maklumat kesihatan, resit-resit rawatan doktor, keterangan terperinci doktor beserta tarikh diberikan, carta prestasi dalam pelajaran dan sebagainya. Beliau turut menyediakan bekal sarapan pagi untuk anak-anaknya meskipun dengan kesibukan yang luar biasa.
Beliau juga mencatatkan kata-kata motivasi untuk meransang semangat mereka. Beliau mendidik keluarganya dengan cara yang sangat halus dan berhikmah. Bukan dengan hukuman ataupun beblan 24/7 tanpa henti. Sebaliknya dengan contoh tauladan untuk diikuti.
Mahasuci Allah yang mencantikkan akhlak imam Hassan Al-Banna untuk kami teladani. Buku ini sarat menceritakan tentang kedudukan ayah sebagai batu-bata yang menyokong bangunan umat islam. Jika para ayah berjaya menunaikan misinya dalam keluarga, maka akan kukuhlah bengunan umat Islam dari pelbagai aspek kehidupan. Sebaliknya pula jika kaum bapa gagal menunaikan misinya dalam keluarga, maka akan rapuhlah bangunan umat ini.
Cerita-cerita realiti tentang sikap seorang ayah dari kaca mata anak-anak Imam Hassan Al-Banna sangat mudah untuk dihadam. Saya kategorikan buku ini sebagai buku motivasi-parenting yang wajib dibaca. Tak rugi baca, banyak boleh dicontohi dan diaplikasi terus :)
ConversionConversion EmoticonEmoticon