#98 Dahsyatnya Energi 'Maaf, Tolong & Terima Kasih'

Tajuk: Dahsyatnya Energi 'Maaf, Tolong & Terima Kasih' Pengarang: Aep Syaiful Hamidin (2013) Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn Bhd Bilangan mukasurat: 166
Buku terjemahan dari karya penulis Indonesia ini saya beli di PBAKL, 2 tahun lalu. Gara-gara rak buku yang sudah penuh, buku ini terselit dan 'hilang' selama 2 tahun dari pandangan mata. Berfokuskan kemahiran interaksi yang mendasari hidup manusia, penulisnya menekankan betapa pentingnya elemen emosi dan perasaan dihantar bersama dengan ucapan dalam menjaga hubungan baik sesama insan. Tiga ungkapan yang mudah dan ringkas; 'maaf', 'tolong' dan 'terima kasih' hanya diibaratkan bernyawa andai dilafazkan dengan penuh keikhlasan. Penulis mengibaratkan perkataan 'maaf' sebagai satu kekuatan yang sangat luar biasa. Kupasan tentang perkataan ini bukan sahaja dibuat dari perspektif agama Islam, tetapi juga dari perspektif agama Buddha, Hindu dan Kristian. Perkataan 'maaf' dilihat sebagai kekuatan dan maruah diri seseorang. Seolah-olah semua masalah selesai selepas perkataan 'maaf' dilafazkan. Dalam bahagian lain, buku ini membicarakan tentang perkataan 'tolong' sebagai elemen penting dalam menjaga hubungan sesama insan. Setiap permintaan yang tidak disertakan perkataan 'tolong' dilihat sebagai arahan yang sombong dan angkuh. Perkataan ini juga diertikan sebagai penghargaan kepada orang lain. Ia menjadi petanda betapa kita menyedari keterbatasan kemampuan diri dan perlunya orang lain membantu melengkapkan kehidupan yang kita harungi. Pernahkah kita mengira berapa kali kita melafazkan ucapan 'terima kasih' kepada orang lain dalam satu hari? Ketika masuk ke dalam lif dan terdapat orang lain membantu menghalang pintu daripada tertutup? Ketika turun daripada bas dan lalu di sebelah pemandunya? Ketika habis kuliah dan mahu meninggalkan kelas serta pensyarah? Ketika diberi pinjam sebarang alat tulis? Ketika menerima alat kawalan jauh televisyen daripada adik sendiri? Kita ialah orang bermasalah sekiranya kita mengucapkan 'terima kasih' kurang daripada 10 kali dalam sehari. Dalam bahagian terakhir buku ini, dicatatkan beberapa kisah dan teladan betapa ucapan 'maaf', 'tolong' dan 'terima kasih' mempu mengubah kehidupan. Secara keseluruhannya buku ini mampu menyedarkan betapa mudahnya menghormati insan lain di sekitar kita. Energi yang dibawa melalui tiga ungkapan itu membawa ion positif yang boleh mengubah pandangan terhadap manusia dan kemanusiaan. Semoga budi bahasa yang selama ini kita banggakan, tidak sekadar menjadi slogan. Jikalau benar cinta, buktikan ia bukan sekadar kata-kata.
Previous
Next Post »