#89 Jaddid hayatak (perbaharui hidupmu)

Tajuk: Jaddid hayatak (perbaharui hidupmu) Penulis: Syeikh Muhammad Al-Ghazali Penerbit: Iman Publication M/s: 319
Ramai orang yang ingin membuka lembaran baru dalam hidupnya, tetapi menantikan saat atau keadaan tertentu untuk membuat perubahan. "Perfect Timing" kata orang. Syeikh Muhammad Al-Ghazali kata "itu hanya ilusi!". Perubahan hidup tidak seharusnya disandarkan pada faktor luaran, kerana perubahan itu datangnya dari diri sendiri. Buku "جدد حياتك" ini merupakan salah satu usaha Syeikh Muhammad Al-Ghazali untuk menjelaskan titik pertemuan antara tradisi islam yang gemilang dengan hasil pemikiran kalangan intelektual dalam pelbagai disiplin juga mengarahkan manusia ke jalan yang lurus. Secara ringkasnya, buku ini diadaptasi dari buku "How to Stop Worrying and Start Living" karya Dale Carnegie yang pernah menggemparkan dunia Barat pada satu ketika dahulu. Hikmah dari buku Dale Carnegie itu diulas dengan baik oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali dengan dikembalikan prinsip itu kepada sumbernya yang sebenar-Islam itu sendiri. Carnegie tidak mengenal islam. Seandainya mengenal islam, ia pasti akan memetik dalil-dalil dari Al Quran dan hadis untuk menguatkan fakta yang dibentangkan. Antara perkara yang menarik untuk dikongsikan adalah mesej yang ingin diketengahkan di bawah bab "Jangan Mengharap Terima Kasih". Kisah berkenaan seorang cendekiawan yang telah lama menulis dan berceramah tentang islam. Beliau memiliki gaya tersendiri dalam menjelaskan ajaran islam dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Namun, pelbagai fitnah mula menimpa dirinya. Buku-buku tulisannya dirampas dan diterbitkan semula atas nama orang lain. Bertambah perit apabila dia pula yang dituduh sebagai penciplak kepada karyanya sendiri. Namun, beliau mengabaikan fitnah dan pelbagai serangan mereka dan mengatakan pada diri sendiri, "Mengapa kau tidak belajar ilmu ikhlas dari perjalanan hidup Imam Syafi'i yang memenuhi muka bumi dengan ilmunya dan berkata 'Aku merasa senang apabila ilmu ini tersebar tanpa diketahui siapa pemiliknya'?". Sebagai penutup dalam buku ini, penulis mengajak kaum intelektual untuk terus mencambahkan karya-karya atas pelbagai disiplin ilmudan falsafah, kemudian menggiatkan tradisi dan ajara nislam ke dalam karya mereka. Ayuh kita perbaharui hidup kita, hari ini!
Previous
Next Post »