#95 Kejayaan Dari Dalam

Tajuk: Kejayaan Dari Dalam Pengarang: Ainon Mohd (2006) Penerbit: PTS Professional Bilangan mukasurat: 208
Buku ini secara dasarnya ialah buku berkaitan psikologi dan pembangunan diri. Hasil perbincangnnya menafikan faktor luaran iaitu sekolah, kawan-kawan, masyarakat dan sebagainya sebagai penentu kritikal kejayaan seseorang. Terbahagi kepada 4 bahagian, iaitu 1. Memahami pengaruh konsep diri terhadap jiwa 2. Memahami pengaruh estim terhadap jiwa 3. Memahami pengaruh keperluan ke atas jiwa 4. Memulakan perubahan diri Dalam bahagian pertama dibincangkan dengan jelas bagaimana konsep diri menjadi pencetus utama kejayaan seseorang. Antara yang menarik dikongsi ialah kisah seorang guru dengan pelajar bermata biru dan pelajar bermata perang. Dalam kelasnya, guru itu mengumumkan bahawa "kajian sains terkini menyatakan pelajar bermata biru mempunyai bakat belajar lebih tinggi berbanding pelajar bermata perang". Kemudian guru itu menggantungkan label 'mata biru' dan 'mata perang' di leher pelajarnya mengikut warna mata para pelajar tersebut. Selepas beberapa minggu, prestasi pelajar bermata perang merosot teruk sementara prestasi pelajar bermata biru meningkat dengan mendadak. Kemudian guru itu membuat pengumuman yang mengejutkan. Dia memberitahu pelajarnya yang dia tersilap! Kajian sains menyatakan pelajar bermata peranglah yang lebih bijak. Beberapa minggu selepasnya, prestasi pelajar bermata perang naik mendadak dan prestasi pelajar bermata biru pula yang merosot. Nah, besar kesannya memberi label kepada orang lain, bukan? Mulai hari ini, usah sesekali kita memberi label yang tidak baik kepada sesiapa. Dalam bahagian seterusnya, buku ini menghuraikan dengan jelas tentang estim diri. Estim diri ialah satu perasaan yang kita rasai ketika menilai diri sendiri. Dalam psikologi dan nilai masyarakat Melayu, estim juga ditakrifkan sebagai maruah diri. Dipandang dari satu sisi, estim ialah sejauh mana seseorang itu menyukai dirinya sendiri. Contoh tingkah laku orang yang tidak menyukai dirinya sendiri adalah mereka yang menggunakan nama samaran yang bukan nama sebenar, mewarnakan rambut supaya kelihatan seperti orang barat atau pun orang yang dilahirkan sebagai Melayu tetapi mengakui bahasa Melayunya tidak baik, sebaliknya bangga apabila dipuji bahasa Inggerisnya sempurna. Orang yang menulis dengan bahasa yang tidak sempurna juga dikatakan memiliki estim diri yang rendah, iaitu menyerupai cara pemikiran dan penulisannya. Orang yang tidak menyukai dirinya sendiri, sukar meraih kepercayaan orang lain dan sukar mencipta kejayaan. Mereka lebih bangga menjadi orang lain dan tidak suka menjadi diri sendiri. Di akhir perbincangan, penulis mencadangkan langkah demi langkah bagaimana kita boleh memulakan perubahan diri. Langkah pertama yang dicadangkan ialah mengubah sikap dan tingkah laku sosial. Antaranya ialah mula memilih sahabat yang baik-baik dan jaga penampilan agar sentiasa kemas dan bersih. Seterusnya, ubah cara berfikir yang menetapkan A = pandai. Kita juga perlu belajar menerima dan mengakui kesilapan, memantau diri sendiri (self-monitoring), jangan sesekali melarikan diri daripada masalah, berani mengambil risiko dan berani menghadapi kemungkinan gagal. Buku ini disarankan kepada semua khususnya kepada yang berasa mereka perlu berubah selepas jatuh berkali-kali di tempat yang sama. Setiap kegagalan bermula dari dalam diri kita dan bukannya salah sesiapa. Setiap kejayaan bukan didorong oleh faktor fizikal dan persekitaran kita semata-mata, tetapi mental dan spiritual juga. Semoga usaha untuk kita berjaya memberi kebaikan dan manfaat kepada semua. Amiin
Previous
Next Post »