#81 Cerita dari Syurga: Mahukah dirimu kekal diingati.

Buku : Cerita dari Syurga: Mahukah dirimu kekal diingati. Penerbit : PTS Penulis : Zamri Mohamad; Yusry Yusopp; Haeqal Zulqarnain M/s : 111
Himpunan kisah-kisah bagaimana untuk diri kita diingati, walaupun selepas mati. Ramai dikalangan kita merasakan yang kita akan sering diingati dengan kejayaan kita, kehebatan kita dan juga jasa kita. Walhal, masih ada lagi perkara yang akan membuatkan kita diingati lebih lagi. Untuk apa diingati? Sebelum terlupa, Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya. (Hadis Sahih). Kita ingin diingati supaya kita disebut di dalam doa orang yang mengingati kita. Di dalam buku ini dihimpunkan 30 prinsip mengingati dan diingati yang setiap satunya diselitkan di dalam satu cerpen pendek. -------------------------------------------- 1. Tidak perlu memaksa bercakap untuk diingati. Cukuplah perbuatan yang muncul pada waktu memerlukan, sudah memberi kesan yang mendalam kepada orang lain. Baik berbentuk analogi, tulisan mahupun perbuatan. 2. Bercerita tentang Tuhan supaya Tuhan mengingati kita. Ia menjadi boomerang yang dibaling, lalu kembali kepada diri. Apabila manusia itu mengingati Tuhan, maka Tuhan mengingatinya. Apabila manusia itu menyebut tentang Tuhan dihadapan orang lain, Tuhan akan menyebut perihalnya dalam situasi yang lebih mulia. 3. Senyuman yang diingati adalah senyuman yang datang bersama perkataan hikmah dan bijaksana. Senyuman dalam diam juga tetap menjadi kenangan kerana ia memberitahu, "kamu adalah salah satu keindahan duniaku. Akal, perasaan, dan kemahuanku jelas kepadamu". 4. Kenangan memerlukan inisiatif, masa, dan tanda supaya terus kekal dalam ingatan. 5. Diingati sebagai manusia kerana sisi peribadinya lebih menjadi cerita kenangan berbanding kerana kerusi besar yang didudukinya. Mulia dalam jawatan disebut kemuliaan pangkat, bukan kemuliaan sikap. ---------------------------------------------------- Ada banyak lagi prinsip mengingati dan diingati yang bermanfaat untuk kita ketahui, baca dan hadam. Dan lebih baik jika diamalkan.
Previous
Next Post »