#86 Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang

Tajuk: Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang Penulis: Zul Fikri Zamir (ZFZ) Penerbit: DuBook Press (cetakan kelapan januari 2015) Bilangan muka surat: 181
Satu lagi karya tempatan dari saudara ZFZ yang terlebih dahulu diterbitkan sebelum "Pedagogi Bahasa Tertindas" dan "Masharakat Melawan Mahasiswa". Buku ini merupakan pengumpulan tulisan-tulisan beliau yang disiarkan di alam maya themalaysianinsider. Idea penulisan beliau pada kali ini seputar isu kebebasan akademik, pendidikan, politik, sosial dan teater yang menjadi elemen penting pencorak pemikiran masyarakat. Seperti yang terdapat di ruangan prakata oleh Dr Faizal Musa (Faisal Tehrani), Faisal Tehrani memuji dan menikmati kerja tangan dan usaha ZFZ. Sorotan sejarah gerakan pelajar yang di bawa secara layang dalam prakata ini, saya kira perlu ditekuni semula oleh golongan mahasiswa supaya jentera gerakan mahasiswa lebih terarah. Pandangan beliau (ZFZ) terhadap sistem pendidikan yang perlu diubah yang diibaratkan seperti penjara dan kilang yang tidak membenarkan untuk bertanya atau memilih apa yg ingin dipelajari sendiri. Setiap kelas adalah sel-sel yg dibina untuk memerangkap pemikiran mereka daripada melihat dunia luar, ilmu dan fahaman yg berbeza daripada yg dibenarkan oleh pengawal penjara. Mahasiswa seperti pekerja kilang. Tidak diberi penekanan secara bersungguh terhadap keperibadian, kemanusiaan dan hakikat ilmu. Pendidikan hari ini tidak lebih mengenyangkan puak-puak kapitalis dan menjadi hamba kepada sifat materialistik. Orientasi pembelajaran pro-peperiksaan telah menyebabkan buku-buku diterbitkan bukan untuk menyebarkan ilmu tetapi sebagai persediaan menulis 'jawapan'. Tulisan-tulisan dalam buku-buku tersebut disumbat ke dalam otak hanya untuk dimuntahkan kembali di atas kertas peperiksaan. Sedari awal, sistem pendidikan ini mengarahkan murid-murid yang pandai diasingkan dan dimasukkan ke sel yang lebih baik, lebih mendapat tumpuan dan diajar untuk bersaing sehabis boleh untuk diri sendiri. Namun, sifat yang paling asas tercicir di kelas-kelas ini iaitu membantu mereka yang lemah. Masih ingat lagi insiden 'Listen Listen Listen'? Bawani ditertawa oleh ribuan pelajar universiti hanya kerana memberi komen dan bertanya kepada salah seorang panelis yang mengatakan Ambiga dan Pak Samad sebagai pencetus anarkis dalam forum 'Seiringkah Mahasiswa Berpolitik'". Sebenarnya sistem 'Listen Listen Listen' ini telah lama dipasang sejak diperkenalkan AUKU. AUKU yang menghantui pelajar, menyekat kebebasan akademik dan bersuara seperti mahasiswa berpolitik melahirkan insan-insan hanya pandai bertepuk tangan saat rakan mereka (Bawani) tidak diberi ruang untuk terus melontarkan suara mengkritik Sharifah Zohra Jabeen. Sharifah dengan lagaknya turun ke pentas dan membalas hujah itu dengan cara yang "cerdik" (baca=tak cerdik). Apakah ini institusi pengajian tinggi atau institusi pembodohan anak bangsa? Mahasiswa seharusnya melihat isu ini dari sudut yang tertindas dan menindas. Namun indoktrinasi yang mendera mental ini menyebabkan mereka lebih selesa menepuk tangan tanpa perasaan ketika Bawani diperlekehkan. Apalah guna menggenggam segulung ijazah, cgpa empat rata tapi tidak memberi manfaat kepada masyarakat. ZFZ turut membawakan kedudukan Malaysia yang tercorot dalam indeks pendidikan antarabangsa (PISA). Sistem pendidikan ini walau dicetak terus dari negara barat (Finland, Australia) yang mengungguli carta namun di Malaysia lain jadinya. Di tambah pula ketidakadilan sosial yang mengenepikan mereka yang tidak berkemampuan menjadikan masalah pendidikan negara ini lebih parah. Kerisauan ZFZ ini diterjemah oleh beliau melalui penubuhan TFTN (Teach For The Needs) yang berfungsi memberi fokus pendidikan secara percuma di sekolah-sekolah sekitar Malaysia kepada murid di kelas-kelas tercorot,miskin dan anak-anak yatim. Saya bersependapat dengan penulis buku "Perempuan Nan Bercinta" (buku yg di"banned"-Faisal Tehrani) ZFZ ini mahasiswa serupa bikin. Tidak dinafikan saudara Zul Fikri Zamir ini luas bacaannya. Beliau memetik pelbagai tulisan dan fakta bersahaja seperti makan popcorn. Banyak lagi isu yang saya kira perlu dibaca dan dihayati oleh segenap mahasiswa agar lahir dari tanah ini rausyanfikr kelas pertama. Saya sangat syorkan untuk membaca buku ini beserta buku "Masharakat melawan Mahasiswa" supaya lebih nampak dan lebih meliputi idea-idea Zul Fikri Zamir yang beliau guguskan dalam lembaran kertas. Allahua'lam.
Previous
Next Post »