#92 Etika Pejabat (Panduan Majikan & Pekerja Hebat)

Tajuk: Etika Pejabat (Panduan Majikan & Pekerja Hebat) Pengarang: Haji Muhammad Zakaria (2006) Penerbit: Telaga Biru Bilangan mukasurat: 128
Buku ini secara asasnya memberi panduan tentang prosedur, kaedah dan tatatertib sewaktu seseorang bergelar warga kerja dalam sesebuah organisasi. Buku yang pada awalnya dilihat sebagai biasa-biasa, tetapi pada akhirnya menepati peringatan 'usah dinilai buku daripada kulitnya'.. Terdiri daripada 17 bab yang padat, buku ini dimulakan dengan senarai 'Dos and Don't' di pejabat. Antara yang ditekankan dalam etika kerjaya (tetapi selalu dibuat-buat terlupa oleh kita) ialah: 1. Mengatakan : ini bukan kerja saya 2. Bercinta dengan rakan sekerja 3. Mengabaikan waktu solat 4. Menjadi tukang 'complain' 5. Manis muka tetapi tikam belakang 6. Menjual kerahsiaan pejabat 7. Mengadu domba ... dan banyak lagi Selain menyenaraikan panduan penampilan yang bersih dan kemas untuk kita ke pejabat, buku ini turut membantu pembaca mengenal pasti tabiat buruk yang wajib dihindari ketika bekerja. Antaranya ialah : 1. Menjadikan telefon sebagai alat perbualan peribadi 2. Menayang harta benda, barang kemas, gadget dan barangan peribadi kepada warga kerja yang lain, sama ada sengaja atau tidak sengaja 3. Tidak mengamalkan etika bercakap sama ada di telefon atau ketika bersemuka (bercakap - walaupun di telefon - sambil mengunyah adalah sangat kurang ajar) 4. Sentiasa melihat telefon, membuka beg tangan, menjadikan meja sebagai drum atau berulang-alik ke bilik air tanpa keperluan 5. Chewing gum atau gula-gula getah 'is a big NO'! ... dan banyak lagi Etika sosial dan etika komunikasi sangat dipentingkan bagi memastikan seseorang itu bergelar warga kerja yang hebat. Antaranya ialah : 1. Orang sebelah meja atau sebelah bilik di pejabat ialah jiran kita, seharusnya hubungan dengan jiran dijaga dengan baik 2. Hubungan 'kemasyarakatan' dengan semua warga kerja harus dijaga, terutamanya jikalau kita berstatus majikan/ketua 3. Elakkan bahasa-bahasa yang negatif (sindiran, marah, maki hamun dan sebagainya) ... dan banyak lagi Menariknya buku ini ialah, penulisnya turut memberi idea 'bagaimana menggunakan buku ini'. Idea yang dicadangkan ialah : 1. Pengurus memberikan satu naskah seorang kepada setiap warga pejabat 2. Dibaca pada permulaan setiap kali mesyuarat atau taklimat 3. Isi penting dijadikan poster dan dilekatkan di sekitar pejabat (memang banyak bahagian dalam buku ini yang disampaikan secara bergambar, mudah dijadikan poster) 4. Isi penting buku ini juga boleh dijadikan memo dan disebarkan untuk semua warga pejabat sebagai ingatan bersama Idea yang menarik dalam memanfaatkan bacaan, bukan? Penulis buku ini menggambarkan bahawa kejayaan dalam membina kerjaya berkait rapat dengan kepatuhan kita kepada etika pejabat yang baik. Seluruh panduan yang disampaikan melalui buku ini wajar diajarkan kepada bakal-bakal graduan yang kebanyakannya kurang pengalaman dan kurang pengetahuan terhadap etika kerja dan bagaimana mahu membawa diri di tempat kerja. Secara peribadi, buku ini adalah sebuah buku dengan gaya penyampaian bersifat interaktif, comel dan menarik. Ia bukan sahaja sesuai untuk mahasiswa yang bakal mengorak langkah ke alam pekerjaan tetapi juga kepada semua warga kerja yang ingin 'menyegarkan diri' daripada rasa mandom akibat rutin yang membosankan di tempat kerja. Ia membekalkan garis panduan berdasarkan protokol etika sosial yang tidak sesekali menolak adab tingkah laku anjuran agama. Besar harapan kita agar tempat bekerja bukan sekadar menjadi tempat mencari rezeki dan mencurahkan segala kemahiran kendiri. Tempat kerja juga seharusnya menjadi tempat untuk kita membina sahsiah dan peribadi. Semoga kebaikan adab dan etika yang dikongsi akhirnya membawa keberkatan kepada setiap inci rezeki. Amiin
Previous
Next Post »