#106 Ceritera Bahasa

Tajuk: Ceritera Bahasa Pengarang: Awang Sariyan (1995) Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Bilangan mukasurat: 202
Sebuah buku lama, ditulis oleh orang lama yang bukan sebarangan tokohnya. Ia mengumpulkan catatan-catatan yang dibuat oleh Dr. Awang Sariyan (Ketua Pengarah DBP sekarang). Semua catatan dalam buku ini pernah diterbitkan dalam pelbagai media. Menariknya buku ini untuk kita kongsi kerana ia menyajikan seribu satu cerita yang menyerlahkan sikap dan tanggapan negatif masyarakat Malaysia (terutamanya orang Melayu) terhadap bahasanya sendiri. Buku ini dibahagikan kepada 3 bahagian: Ceritera Pertama: Dasar bahasa, taraf bahasa dan sikap kita Ceritera Kedua: Sistem bahasa, pengguna dan penggunaannya Ceritera Ketiga: Bahasa baku dan pembakuan bahasa Terdapat 21 cerita dalam Ceritera Pertama. Paling menarik untuk dikongsi ialah kisah Majlis Perubatan Am (GMC) United Kingdom yang telah menarik balik pengiktirafan penuh terhadap Ijazah Perubatan Universiti Malaya. Isunya hanyalah kerana UM menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga timbul persoalan "akan matikah pesakit yang dirawat oleh doktor berbahasa Melayu?". Satu lagi kisah menarik dalam Ceritera Pertama ialah apabila seorang sarjana antropologi bernama E.P. Patanne dari Filipina telah mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Cadangan yang dianggap radikal itu telah memukau seketika para pencinta bahasa dan pada akhirnya membuatkan pemerintah negara-negara ASEAN bersusah-payah pula menidakkan cadangan tersebut. Sungguh pun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di empat negara anggota ASEAN, namun empat negara itu tidak pula berhujah mempertahankannya. Melalui Ceritera Kedua pula, Dr. Awang Sariyan banyak membuat kritikan terhadap pengguna bahasa Melayu. Beliau mempersoalkan benarkah bahasa Melayu sukar difahami atau ia sekadar helah bagi menghumbankan bahasa tersebut. Dr. Awang Sariyan juga menyenaraikan pengaruh bahasa asing yang perlu diterima dan perlu ditolak mengikut keperluannya. Satu cerita yang menarik diulas ialah 'apabila kesalahan bahasa dianggap sebagai satu gaya' (ini jelas berlaku secara berleluasa sekarang). Dalam Ceritera Ketiga, Dr. Awang Sariyan banyak membicarakan tentang bahasa Melayu dan pengislaman bahasa. Dalam bidang neurolinguistik, bahasa dilihat bukan sekadar kebiasaan semata-mata. Bahasa ialah kebolehan batin (akal, hati dan kalbu). Kedudukan bahasa sebagai satu fakulti ilmu dalam akal menunjukkan pentingnya bahasa dalam pembentukan diri manusia. Bahasa ialah pembentuk peribadi. Penggunaan bahasa yang salah akan merosakkan kemenjadian diri manusia itu sendiri. Dr. Awang Sariyan turut berkongsi pengalamannya menghadiri temuduga melanjutkan pengajian. Apabila disebut minatnya mendalami bidang bahasa, pegawai penemuduga mempersoal pilihannya yang dianggap sebagai 'tidak mencabar' sedangkan beliau seorang calon siswa yang ternyata pintar. Soalnya, apakah bidang bahasa tidak memerlukan kepintaran? Itu juga yang dibahaskan dalam catatannya 'apabila tikus membaiki labu' iaitu apabila wujud kecenderungan orang yang tidak pandai tetapi memandai-mandai pula dalam isu bahasa. Secara keseluruhannya, buku ini bukan sekadar bercerita tentang isu semasa (pada ketika itu; sekitar 1990an) tetapi turut merakam cebisan rasa kecewa terhadap sikap masyarakat terhadap bahasa Melayu. Andai sahaja Dr. Awang Sariyan berada di tengah kelompok generasi muda hari ini, pasti kekecewaannya sudah mampu merobohkan benteng hati, betapa bahasa Melayu sudah tidak lagi dihormati. Semoga catatan orang lama dalam buku-buku lama turut dibaca oleh generasi hari ini. Rome tidak terbina dalam satu hari. Sukarnya membina bahasa dalam tamadun bangsa bukan untuk disanjung dalam hati, tetapi ia wajib dijulang dan diwarisi.
Previous
Next Post »