#120 Makanan Berbahaya

Tajuk: Makanan Berbahaya Pengarang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (2002) Penerbit: Persatuan Pengguna Pulau Pinang Bilangan mukasurat: 326

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) adalah antara Persatuan Pengguna paling aktif di Malaysia. Ia sebuah pertubuhan sukarela tanpa mementingkan keuntungan dalam memperjuangkan hal dan kepentingan semua pengguna melalui aktiviti penyelidikan, pendidikan dan perwakilan.
Malangnya usaha menyedarkan pengguna bukanlah satu tugas yang mudah. Seringkali Persatuan Pengguna khususnya CAP dikecam dengan ayat "Jika kami dengar cakap CAP, semua benda tak boleh dimakan!". Seringkali juga CAP berdepan dengan kerenah birokrasi pihak berkenaan yang sentiasa cuba melindungi kepentingan kapitalis dalam mengaut keuntungan.
Buku ini terbahagi kepada 7 bahagian seperti berikut:
1. Pencemaran Benda Asing Dalam Makanan 2. Logam, Plastik, Racun Makhluk Perosak dan Ubat-ubatan Dalam Makanan 3. Penggunaan Pewarna dan Pengawet Berbahaya 4. Penipuan Kesihatan yang Menakjubkan 5. Sinaran Berbahaya dan Makanan Franken 6. Makanan Moden - Satu Penipuan Makanan? 7. Cara Menjadi Penyiasat Makanan
Menarik dalam bahagian 1: Jangan makan dalam gelap kerana kita akan gagal melihat benda asing dalam kegelapan. Dipaparkan senarai kes yang pernah berlaku - jarum dalam roti, twisties berlipas, kopi berkaca, pin baju dalam aiskrim, cicak dalam minuman, serangga dalam biskut dan sebagainya. Pendedahan dibuat terhadap isu kuman taun dan najis haiwan dalam makanan yang dijual di pasar malam dan isu susu kotak yang sangat mudah meracuni kanak-kanak.
Menarik dalam bahagian 2: Isu plumbum dan manusia tidak boleh disatukan tetapi hakikatnya banyak jenis makanan mengandungi plumbum seperti yang ditemui dalam produk berjenama King Cup (sardin), Jade Bracelet (kacang dalam sos tomato), Yeo's (sardin), Bala (rambutan campur nanas), Greatwall (daging lembu) dan banyak lagi. CAP mendapati 61% daripada sample makanan dalam tin yang dibeli mengandungi kadar plumbum yang tinggi (melebihi 2 bps). Didedahkan juga tentang penggunaan racun serangga pada sayur-sayuran dan buah-buahan sehingga produk tanaman itu terlihat sentiasa bersih dan cantik.
Menarik dalam bahagian 3: Bahan pengawet dan pewarna yang kononnya 'dibenarkan' tetapi akan mendatangkan kesan sangat buruk apabila digunakan secara berterusan. Ini termasuklah pewarna yang digunakan dalam serbuk kunyit dan rempah kari. CAP mendedahkan bahawa bahan terlarang seperti asid benzoik (racun tikus) dan sulfit juga digunakan sebagai sebahagian daripada bahan pengawet. Anda sukakan mee, kuetiaw, laksa, bebola ikan, bebola sotong atau apa sahaja jenis bebola makanan laut? Ia mengandungi asid borik yang boleh menyebabkan ia tahan lebih daripada seminggu di pasaran.
Menarik dalam bahagian 4: CAP mendedahkan tentang bahan penambah bahaya dalam susu tepung iaitu protein tambahan yang boleh mereputkan tulang. Susu tepung yang mengandungi kalsium dan protein tambahan seperti Anlene mungkin baik untuk pesakit osteoporosis tetapi boleh membunuh manusia normal yang lain. Penipuan kesihatan yang didedahkan oleh CAP termasuklah pengambilan supplement yang tidak diperlukan oleh tubuh badan yang hakikatnya bertindak secara semula jadi.
Menarik dalam bahagian 5: Kemajuan bidang kejuruteraan genetik dalam makanan membawa kesan yang sangat buruk pada kesihatan. Benarkah kita boleh mendapat kan vitamin c daripada limau melalui kapsul yang diproses? Bagaimana kejuruteraan genetik ini mahu menafikan bahawa proses meradiasi makanan adalah punca terbesar kepada penyakit kanser? Penggunaan ketuhar gelombang micro misalnya, boleh menjadi pembunuh dalam diam jikalau tidak ditangani dengan betul.
Menarik dalam bahagian 6: Keburuan waktu sentiasa menyebabkan kita mengambil jalan mudah mencari makanan bersifat segera. Aiskrim, burger, kentang goreng, biskut, coklat dan mee segera antara yang menjadi pilihan mudah tanpa menyedari ia mengandungi lemak trans berbahaya. CAP juga menyuarakan kebimbangan terhadap produk makanan bayi yang nampak mudah disediakan tetapi beracun untuk jangka masa panjang.
Menarik dalam bahagian 7: Senarai garis panduan menjadi penyiasat makanan diberikan oleh CAP seperti berikut - belajar cara membaca dan memahami labe makanan, jangan mudah percaya kepada produk ajaib yang boleh merawat semua penyakit, tahu hak pengguna dan ke mana aduan boleh dibuat.
Ya, membaca buku ini barangkali sahaja boleh membuatkan kita takut menghadapi makanan. Benarlah dakwaan orang ramai bahawa "Persatuan Pengguna suka menakut-nakutkan orang. Ini beracun, itu berbahaya!". Hakikatnya, bukan mudah menyedarkan manusia. Berbahaya, tetapi mereka suka!
Begitupun ramai dalam kalangan pembaca yang akhirnya mempertikai peranan Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan dengan isu makanan berbahaya ini, sebagaimana pendedahan CAP biasanya disenyapkan dan dinafikan. Jenama pengeluar juga sering dikaburkan atas nama 'perlindungan kepada peniaga'
Previous
Next Post »