#127 Keldai dan Kitab

Tajuk: Keldai dan Kitab Penulis: Azman Hussin Penerbit: DuBook Bilangan mukasurat: 185

Fenomena Dubook agak hangat dibincangkan kebelakangan ini. Ayat yang kurang enak untuk didengar, menyebarkan pemikiran Sosialis, pandangan yang tidak intelek, dan banyak lagi tohmahan yang dihadapi oleh mereka.
Mungkin benar apa yang dikatakan, namun pandangan saya agak berbeza dengan judul Keldai dan Kitab ini. Dari segi tuturnya, saya rasa bahasa yang digunakan tidaklah mengaibkan, mungkin ada satu dua perkataan yang luar dari norma kehidupan kita. Bukan niat untuk menyebarkan fahaman Dubook, tetapi kebimbangan tersebut seharusnya diletakkan dalam neraca perspektif yang adil dan bukan emosi semata-mata.
Bermula dengan pandangannya terhadap penggunaan Facebook yang banyak menimbulkan perdebatan yang tidak berkesudahan dan hanya melalaikan golongan muda hari ini ada betulnya. Analogi perihal maklumat di mana terdapat pelbagai cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya terus disebarkan dalam rangkaian alam maya. Ia mungkin hanya dicipta dan disebarkan dalam bilik berhawa dingin, tetapi kesannya merata ke dalam masyarakat.
Krisis Syria mengenai Basahar Al-Assad yang diceritakan kadang-kadang membuatkan kita termenung seketika. Tulisan tersebut bukanlah untuk menetapkan apa yang terjadi di Syria. Tetapi tulisannya adalah persoalan-persoalan yang moga-moga membuat kita semua bertanya dan menyelidik, dan tidak menerima bulat-bulat sumber-sumber media yang bertujuan jahat untuk mengadili krisis yang terjadi di sana. Percaturan Yahudi dalam konflik Sunni-Syiah adalah strategi musuh untuk mengucar-ngacirkan kita. Ia umpama pepatah melayu "melempar batu sembunyi tangan". Konflik pemberontakan di Syria telah diambil kesempatan untuk menyemarakkan lagi api perbalahan oleh kuasa asing.
Sastera Malaysia adalah penipuan? Satu tajuk yang agak sensitif dan mungkin keterlaluan terutama bagi golongan sasterawan di Malaysia. Sebelum kita membuat sebarang kesimpulan, mungkin boleh baca penjelasan yang disampaikan. Setuju atau tidak, terpulang kepada diri anda yang menilainya.
Antara tajuk yang agak menarik untuk dibaca adalah berkaitan mempertahan dan menentang pemerintah. Kedua-dua golongan berhujah menggunakan dalil Al-Quran dan Hadits. Mustahil ayat-ayat Al-Quran itu bertentangan, tetapi adakah dari tindakan mereka di dalam menghadapai realiti dunia akhir zaman, menunjukkan mereka benar-benar memahami ilmu yang dimiliki. Atau adakah kita semua ini seperti seekor keldai yang membawa kitab, tetapi isi-isi kitab itu tidak membawa manfaat sedikit pun kepada kita malah hanya membebankan pundak kita.
Secara ringkasnya, melalui pembacaan buku ini, saya rasa ada perkara yang boleh kita bersetuju dan ada yang tidak. Bagaimana kita ingin mengambil manfaat daripadanya? Anda yang menilainya.
Wallahualam
Previous
Next Post »