#119 Masharakat Melawan Mahasiswa

Tajuk: Masharakat Melawan Mahasiswa Penulis: ZF Zamir Penerbit: Dubook Press Muka Surat: 200++

Kebelakangan ini, ramai kawan-kawan yang asyik mengkondem dan menyindir Dubook kerana tulisan atau persuratan Dubook yang dikatakan biadab, kurang ajar, dan kasar. Mungkin ada benarnya pada sesetengah buku, tetapi buku ‘Masharakat Melawan Mahasiswa’ ini, pada saya, bebas daripada unsur-unsur kebiadapan tersebut. Buku ini tetap berani mencabar dasar-dasar negara dan mencemuh kebejatan sosial dalam masyarakat tetapi ia disampaikan dalam bentuk yang akademik, objektif, serta padat dengan fakta dan statisitk yang boleh dipercayai.
Ringkasnya, buku ini menghimpunkan kertas kerja dan esei-esei kritikan beserta cadangan solusi penulis pada isu-isu masyarakat yang kurang mendapat perhatian. Di dalamnya terkandung perbincangan fungsi dan peranan sebenar golongan mahasiswa dan inteligensia, kritikan terhadap kedua-dua golongan ini (kerana kegagalan mereka untuk berperanan pada masyarakat), menyentuh isu-isu pendidikan, isu bahasa, sastera dan seni, serta perkongsian-perkongsian realiti masyarakat yang tertindas dan ditindas (makalah “Adakah Tuhan Menentang Anak Yatim’ serius boleh buat nangis).
Yang menariknya, kritikan-kritikan penulis bukanlah omongan-omongan kosong. Buku ini turut memuatkan pengalaman penulis merealisasikan idea-ideanya dalam bentuk program-program kemasyarakatan. Antara program beliau yang terkenal adalah Teach For The Needs (TFTN). Suatu program yang mengumpulkan guru-guru, sukarelawan dan aktivis untuk mendidik pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik (miskin, yatim dan sebagainya).
Membaca buku ini, mendedahkan kita kepada keluasan pembacaan si penulis dan keseriusan beliau dalam aspirasi membina ketamadunan manusia yang lebih harmoni dan berkasih sayang. Mungkin kerana itu penulis sering mempromosikan idea mazhab cinta sebagai tunjang pendidikan dan pembinaan masyarakat. Selain itu, buku ini sedikit sebanyak menyedarkan diri akan tanggungjawab dan amanah gergasi yang kita galas bersama sebagai hamba bergelar mahasiswa. Maka saya sangat mengeyorkan para mahasiswa (baca: kita) dan para pendidik untuk membaca buku ini.
Mudah-mudahan dapat menjadikan kita mahasiswa yang lebih dekat dengan masyarakat.
- - - - - - - - - - -
Nota Hujung:
Buku ini juga boleh menjernihkan kita daripada terus bersikap skeptikal dan bertaklid dalam membenci Dubook. (Saya ulangi) Mungkin ada buku-buku DuBook yang bahasanya biadab dan kasar tetapi bukan semua buku keluaran Dubook begitu. Jadilah insan yang adil pada penilaian:
Don’t Judge a Book by its cover. Don’t Judge a Book by its Publisher.
Bukan saya nak pertahankan atau promosikan Dubook. Ada benda yang saya setuju, ada benda yang saya kurang setuju, ada benda yang saya langsung tak setuju dengan Dubook Press. Yang saya pertahankan dan promosikan adalah sikap benar dan adil. Tidak lebih dari itu. Harap tiada yang salah faham.
Previous
Next Post »