#116 Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?

Tajuk: Bagaimana Anyss Naik Ke Langit? Penulis: Faisal Tehrani Penerbit: DuBook Press (cetakan ketiga april 2015) Bilangan muka surat: 112

Novel yang dihasilkan oleh penulis sensasi, Faisal Tehrani ini, mengisahkan seorang professor yang ingin membantu suku kaum di pedalaman Sarawak terutamanya kaum Penan yang diganggu teruk oleh aktiviti pembalakan secara haram.
Professor Anyss yang menjadi orang kuat membela nasib kaum terpencil ini dinasihatkan oleh Batul, untuk pergi bercuti di negara China demi menyelamatkan diri kerana Prof Anyss sudah menjadi sasaran sang cukong penghisap balak di hutan Sarawak.
Prof Anyss yang menjadi "ancaman" ini, rajin mengumpul keratan-keratan akhbar yang menyatakan maklumat-maklumat berkenaan tuntutan keadilan oleh kaum-kaum di Sarawak berkenaan isu pembalakan ini.
Kegiatan haram pembalakan ini pernah naik sehingga ke tangga mahkamah.[1] Namun, apa yang berlaku di Sarawak adalah konflik di antara peniaga-peniaga serta ahli-ahli politik yang ingin terus mengaut keuntungan. Jika diikutkan proses perbicaraan yang diwakili kaum Kayan sebagai plaintif dan defendan oleh kerajaan Sarawak, hakikatnya penduduk asli mempunyai hak adat penduduk asli yang tidak dapat diragui lagi. Antara orang besar yang terlibat dalam aktiviti tercela ini ialah Ketua Menteri Sarawak dan adiknya. Apabila saya membaca bahagian ini, teringat kes rampasan buku oleh KDN di PBAKL baru-baru ini. Antara buku yang dirampas ialah "Money Logging" yang di dalamnya tercatat sisi sebenar Ketua Menteri Sarawak itu, si pelahap keuntungan yang mementingkan wang ringgit dari darah rakyat sendiri. Oh sungguh celaka andai ada pemerintah begini. (Maaf kasar)
Penduduk orang asli ini terus berusaha mempertahankan kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal mereka dengan membina benteng-benteng manusia setelah suara tidak didengari lagi. Tembok-tembok manusia ini sangat berkesan dan berjaya membantutkan kegiatan pembalakan itu.
Namun, orang-orang balak yang bersarung nafsu binatang dengan terkutuknya menakutkan penduduk asli dengan siri rogol beramai-ramai gadis sunti kaum-kaum itu. Penduduk dalam ketakutan. Maruah dan mahkota anak perempuan mereka habis jatuh menghempas batu.
Sesi temubual dan diagnosis terhadap mangsa rogol membuatkan Prof Anyss yang lanjut usia itu berasa marah dan ingin benar meletakkan kecelakaan ini ke neraca yang adil dan setimpal. Sudahlah rogol itu salah, dijamahi pula mangsa-mangsa itu dengan rakus dan kejam sekali.
Benarlah bidalan orang, yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin. Prof Anyss di bunuh sewaktu di China. Beliau dibunuh oleh pemandu pelancong sendiri yang diupah oleh mereka yang hanya pentingkan perut dan kroni.
Professor Anyss kemudiannya bertemu dengan Ratu Sago, mangsa rogol di langit (syurga). Dari dialog indah Prof Anyss dan Ratu Sago, menunjukkan perjuangan Prof Anyss diteruskan oleh anaknya, Mustaqim. Diharapkan perjuangan ini tidak terhenti.
•••••••••••••••••••••••••••••••••••••••• 1. Saya ingin katakan di beberapa bahagian dalam novel ini terdapat unsur-unsur yang agak lucah. Seperti perihal rogol dan dialog Prof Anyss dengan Ratu Sago. Kepada yang terganggu dengan perkara ini dinasihatkan supaya tidak membaca bahagian tersebut. Takut-takut kacau "mood" membaca dan salah melabel penulis.
2. Adakah tulisan Faisal Tehrani pada kali ini mengandungi elemen Syiah seperti yang digembar-gemburkan? Nak tahu? Bacalah.
3. Di bahagian akhir muka surat novel ini dimuatkan satu firman Allah yang sangat membekas di hati.
وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ
Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
4. Semoga kita tahu yang tertindas itu, yang teraniaya itu di sisi mereka, ada Tuhan yang Maha Perkasa dan Maha Kuat. Ingatlah! Jangan mudah dibeli dan dibuli.
5. [1] Utusan Pengguna Mei 1990. Halaman 164-165
6. "Mengapa orang kita rasa menolong Palestina lebih bersyurga kalau Penan di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?"
-Tamat-
Previous
Next Post »