#111 Cara Terindah Untuk Mati Tersenyum

Buku : Cara Terindah Untuk Mati Tersenyum Penerbit:Al Hidayah Publication Penulis : Abu Huzaifah Ibrahim Ibn Muhammad Penterjemah : Faizah Othman Penyunting: Dr.Mohd.Puzhi Usop Muka Surat: 212
Judul asal buku ini ialah Ma Yanfa Al-Muslim ba’da Wafatihi. Buku ini mempunyai 12 bab. Ia membincangkan berbagai perkara yang dapat memberikan manfaat bagi seorang muslim selepas kematiannya bermula dari ketika sakaratul maut menjemput dan seterusnya berpindah dari perbaringan menuju ke liang lahat. Buku ini membentangkan sunnah yang sepatutnya diamalkan oleh orang muslim dan menerangkan sebahagian bidaah yang sepatutnya dijauhi. Ia berpandukan dalil Al Quran dan sunnah Nabi. Buku ini memberi panduan, ketika sakaratulmaut menjemput, talkinkanlah orang yang akan mati di kalangan kamu dengan mengucap kalimah tauhid “La ilaha illallah”. Jika roh seorang muslim diambil oleh Rabbnya, maka orang yang hadir perlulah menutup kedua matanya. Dan tidak dibolehkan bercakap kecuali yang baik seperti, “Ya Allah, ampunkanlah dia. Ya Allah, rahmatilah dia.” Imam An Nawawi berkata, disunatkan memberitahu kematian si mati kepada keluarga, kerabat dan sahabat si mati. Pengumuman ikhlas itu untuk menyolatkannya, mengiringi jenazahnya serta menunaikan hak dan kewajipannya. Tetapi dilarang pengumuman dilakukan di jalanan dan di depan pintu-pintu masjid dengan jeritan. Kebaikan dan pahala besar bagi orang mengiringi jenazah, memandikannya, menyolatkannya dan menunggu sehingga pengkebumiannya. Buku ini turut membentangkan hadith Nabi tentang solat jenazah ghaib yang dilakukan oleh Baginda setelah menerima perkhabaran kematian pemerintah Habsyah yang berada di wilayah yang berbeza. Jika benar-benar mahukan kebaikan bagi si mati, maka apabila buat kali pertama menerima berita kematiannya hendaklah menghindari tindakan menampar pipi, mengoyak baju dan meratap menjerit-jerit seperti orang Jahiliyah. Turut diterangkan 10 jenis tangisan baik, terpuji dan tidak terpuji, yang halal, makruh dan haram mengikut Imam Ibnu Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad. Tangisan yang lahir dari rasa sayang dan ini dibolehkan oleh syar’ie sepertimana kisah Nabi SAW pernah menangis ketika anak lelaki Baginda, Ibrahim meninggal dunia. Ibnu Qayyim menjelaskan disunatkan bagi umat Nabi SAW untuk memuji, mengucapkan kalimah istirja’ (innalillahiwainnailaihi raji’un) dan redha terhadap keputusan Allah. Rasulullah makhluk yang paling redha dengan ketentuan Allah dan paling banyak memuji Allah. Baginda menangis sebagai tanda sayang dan kasih pada anakandanya. Antara tuntutan lain ialah keluarga si mati diharuskan supaya segera membayar hutang si mati denan harta yang ditinggalkan oleh si mati walaupun semua hartanya harus diserahkan untuk membayar hutang. Jika si mati tidak meninggalkan harta maka sebahagian anggota keluarganya harus membayarkan untuknya dengan harta mereka. Ketika pertama kali mendengar kematian si mati, setiap ahli keluarga si mati perlu menerima dengan baik dan sabar dengan ketentuan Allah maka itu akan menambah amalan kebaikan bagi si mati. Bersabarlah, berdoalah agar Allah memberikan pahala atas musibah yang menimpa ahli keluagra dan mengantikan dan menukarkan dengan sesuatu yang lebih baik. Buku ini juga memberikan contoh kisah seorang wanita hebat yang bernama Ummu Sulaim iaitu ibunda kepada Anas B Malik. Hukum mensolatkan jenazah adalah fardhu kifayah, sebagaimana memandikan dan mengkafankannya. Semasa pengkebumian, disunatkan berdiri di depan kubur setelah pengkebumian untuk mendoakannya dan memohon keampuanan untuk si mati. Serta meminta pada Allah agar diteguhkan si mati kerana pada waktu itu si mati akan ditanya di dalam kubur. Ketika menziarahi kubur, tiada hari khusus untuk ziarah kubur. Ia bidaah yang yang wajib ditinggalkan. Ziarahlah kubur untuk ambil ikhtibar, sedarkan diri dan mengingati akhirat dan berilah salam penghormatan dan doa untuk memohon keampunaan untuknya. Perkara haram dilakukan pada kubur ialah menyembelih haiwan, membuat tulisan padanya, membuat bangunan di atasnya, duduk di atasnya, membina masjid di atasnya, menjadikan suatu perayaan, merosakkan tulang temulang si mati dll. Penulis turut mengupas berkenaan adab Islam mengenai sedekah untuk si mati. Semua jenis kebaikan dan perbuatan ma’aruf adalah sedekah. Adab itu antara lain menerangkan dalam bersedekah, hendaklah seseorang menginfaqkan harta yang paling disayangi, paling dicintai, paling tinggi nilainya dan paling baik kerana Allah SWT dengan rasa redha dan bahagia. Dalam bab sedekah jariah, diterangkan harta boleh menjadi nikmat boleh juga menjadi bencana. “Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan yang (pahalanya) akan mengikuti seseorang mukmin setelah kematiannya adalah :(1) Ilmu yang diajarkan atau diwariskan, (2) anak soleh yang ditinggalkan, (3) mushaf yang diwariskan, (4) masjid yang dibina, (5) rumah yang dibina untuk ibnu sabil, (6) sungai (pengairan) yang dialirkan, (7) sedekah yang dikeluarkan dari hartanya, ketika dia masih sihat dan hidup. Semua itu akan terus bersamanya, walaupun setelah kematiannya". Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi dari Abi Hurairah r.a.
Previous
Next Post »

1 comments:

Write comments