#126 Di Hamparan Shamrock ku seru namamu

Tajuk: Di Hamparan Shamrock ku seru namamu Penulis: Ustaz Hasrizal Penerbit: Galeri Ilmu Bilangan mukasurat: 342

Buku ini merakamkan perjalanan kehidupan Ustaz Hasrizal semasa di Belfast, Galway dan seluruh pelosok United Kingdom. Ustaz berkongsi cerita, rasa dalam tawa dan air mata. Jauh di perantauan, berkelana sering dilanda payah dan derita. Nostalgia itulah yang memperkenalkan beliau kepada erti sebuah kehidupan sebagai seorang pelajar, imam, anak dan juga suami.
Penulisan yang santai dengan bahasa yang bersahaja membuatkan para pembaca tertarik dan kadang-kadang teruja. Diserikan dengan rencah kehidupan seorang musafir yang sentiasa mencari makna di sebalik tanda tanya serta ujian kehidupan yang melanda. Di Hamparan Shamrock ku seru namamu memanifestasikan usaha beliau untuk jujur kepada diri sendiri, demi sebuah kedamaian bahawa beliau sama seperti manusia lain, tidak terlepas daripada peraturan sebuah kehidupan.
Pengalaman menjadi imam di Belfast dengan pelbagai ragam manusia mengukir satu perjalanan yang sukar digambarkan. Ditambah dengan tragedi 11 September yang menyuburkan sentimen Islamophobia di negara Barat memang menguji posisinya sebagai seorang Imam dan muslim di sana. Pengalaman menyembahyangkan jenazah seorang anak kecil yang ibunya Kristian Katolik dan bapanya Muslim adalah sesuatu yang tidak pernah berada di dalam bayangannya.
Sangkanya, pengalaman "menginap" di penjara di UK menjadi kemuncak kesakitan. Rupa-rupanya ada yang lebih menyakitkan. Sakit menanggung sedih dan malu apabila mengetahui rakan sepengajian di Jordan sudah di sana-sini maju ke hadapan. Menamatkan ijazah sarjana muda yang mengambil masa lapan tahun itu sememangnya sukar bagi mereka yang tidak mempunyai semangat yang kental. Perlahan-lahan ustaz ceritakan rentetan musibah yang menimpa. Bermula daripada terkunci di rumah pada tahun 1997, penggantungan biasiswa, kemalangan jalan raya, pembedahan akibat buasir, dan semuanya mengekalkan beliau tidak berwang, untuk bertahan lama di Jordan setiap kali terlepas satu peluang peperiksaan.
Pengalaman membuat keputusan untuk memutus tunang juga adalah sebuah takdir yang sukar diyakini. Terlalu banyak kisah yang ingin dicoretkan, perkongsian ini cuma sekadar tulisan untuk menghadirkan rasa syukur dengan kehidupan yang ada. Semoga travelog tarbiah ini menjadi pemangkin semangat untuk meneruskan kehidupan yang bersulamkan ujian dan cabaran.
Previous
Next Post »