#124 Tak Kenal Maka Tak Cinta

Judul : Tak Kenal Maka Tak Cinta Penulis : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil Penerbit : PTS Halaman : 61

Buku ini sebuah karya yang jauh berbeza daripada buku-buku kebiasaan Ustaz Hasrizal. Ia merupakan naskhah istimewa sempena menyambut 17 tahun beliau berkarya daripada web ke blog, hingga ke era Facebook dan Twitter.
Buku nipis ini memaparkan warna-warni realiti 31 sketsa kehidupan bergambar dengan 50 watak kartun di dalamnya. Ia ibarah sebuah komik dakwah. Satu karya dakwah tentang konsep berkomunikasi menurut hikmah Islam.
Seperti kebiasaannya, Ustaz Hasrizal tidak pernah gagal menghidangkan karya unik yang membasuh jiwa.
Setiap sketsa, teks, subteks dan ilustrasi yang dipaparkan mempunyai mesej yang santai tetapi mendalam, enak dibaca tapi pahit untuk ditelan, tersurat tapi tersirat.
Selain sketsa bergambar, turut dimuatkan bonus tazkirah dan ulasan ilustrasi di halaman akhir buku ini. Mesej yang beliau cuba bawakan adalah bagaimana ibu, ayah dan anak yang duduk bersama tidak betul-betul kenal dan berkomunikasi antara satu sama lain. Barangkali berpunca daripada hati yang tidak disuburkan dengan kasih dan rasa cinta yang menjadi teras utama kepada komunikasi efektif.
Beliau mengajak pembaca untuk kembali mengenali keluarga, ibubapa, anak-anak, murid, mad'u, daie dan semua hamba Allah yang dekat dengan kita. Berkomunikasi bukan pada mata kasarnya hanya mengunakan lidah dan telinga, tetapi komponen paling utamanya adalah HATI.
Saya sifatkan buku ini sebagai satu konsep dakwah kreatif yang sesuai dengan zamannya dan mula mendapat tempat di kalangan masyarakat. Ia juga sesuai sebagai satu alternatif bahan bacaan berilmu yang mampu menerapkan input tarbiyah kepada pembacanya.
Selamat 'membaca' !
Previous
Next Post »