#130 Alif Lam Lam Ha

Tajuk: Alif Lam Lam Ha Penulis: 15 anak muda (kru UTAM) Penerbit: DuBook Press cetakan ketiga februari 2015 Bilangan muka surat: 182

Sebelum menceritakan isi yang dibawa eloklah saya kenalkan dahulu siapa itu UTAM. UTAM (Universiti Terbuka Anak Muda) merupakan satu usaha yang dimulakan oleh anak muda di Manchester, UK. Matlamat UTAM adalah untuk membudayakan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia, memperkaya khazanah keilmuan dalam Bahasa Melayu serta memperkukuh demokrasi dan peran serta rakyat di Malaysia.
Sebanyak 18 penulisan dari anak-anak muda Malaysia ini dimuatkan di dalam lembaran-lembaran kertas yang dijahit menjadi sebuah buku. Tulisan-tulisan yang dibawa digarap bersama tema kemanusiaan, agama, cinta,politik dan budaya.
Antara tulisan yang menarik bagi saya ialah "Bergelap", "Perpustakaannya Dia", "Ini dunia melayu,ini dunia cina", "Alif lam lam ha. ha ha ha."Sebuah perjalan", "Di Doha, Bicara pemikiran Islam" dan "P.T.M".
Dalam makalah "Alif lam lam ha. Hahaha", penulis membawakan kisah perebutan kalimah Allah yang pernah menjadi polemik satu masa dahulu. Sama ada dibenarkan guna kepada bukan Islam atau sebaliknya. Tulisan secara sinis membuat kita tersedar bahawa tidak cukup hanya mempunyai simbol keislaman (kalimah Allah) tetapi amalnya kemana akhlaknya tiada keimanannya hilang.
Tulisan yang paling saya suka dan menampar pipi ialah "Dialog Si Pengemis" yang menghidangkan perihal seekor pengemis dan seekor kucing yang boleh bercakap. Bukanlah kucing bercakap itu menjadi isunya, tetapi keegoan dan kesombongan manusia memandang keji si pengemis tatkala dia menumpang teduh di rumah ibadat agama Islam. Muslim yang diistilahkan sebagai manusia berbaju panjang (jubah) tidak pernah mengajar pengemis itu untuk hidup beragama. Mungkin susah untuk tanggalkan kotoran si pengemis jika terkena jubah putih mereka. Bangunlah umat ini, selingsingkan lengan baju, turunlah ke jalanan agar semua orang dapat merasa hidup bertuhan (Allah).
Antara penulis yang menghiaskan buku ini dengan tulisan mereka ialah Hasbullah Faudzi, Ooi Kok Hin [1], Mesin Cetak, Hazman Baharom, Shuhaib Ar-Rumy, Marwan Bukhari [2], Imran Rasid dan Shahkang Aizat.
Sesetengah penulis membawakan petikan kata atau ide dari tokoh-tokoh yang saya tidak kenal seperti Baudrillard, Kahlil Gibran dan Prof Dr Abdul Rahman al-Kaylani menunjukkan bahawa kurangnya bacaan saya.
Kesimpulannya, isi buku ini tidaklah ketat dan sarat dengan segala fakta dan maklumat. Hanya penceritaan yang disadur dengan pelbagai tema yang telah saya nyatakan di awal tulisan ini. Walaupun berlatarkan bidang pengajian yang berlainan namun di bawah satu nama (UTAM) mereka bersatu berusaha mencerdikkan masyarakat. ••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••• 1. [1] Ooi Kok Hin menulis sebuah buku bertajuk "Aku Kafir, Kau siapa?" keluaran DuBook Press. 2. [2] Marwan Bukhari menjadi penterjemah/penulis buku "Maqasid Syariah" oleh Dr Jausser Auda keluaran PTS. 3. Layari www.utam.net untuk mengetahui perkembangan UTAM ini.
Previous
Next Post »