Tajuk: Secangkir Teh Pengubat Letih
Penulis: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Bilangan mukasurat: 267
Penulis: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Bilangan mukasurat: 267
Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik."
(Al-Rum: 42)
Siri pengembaraan ke Turki bersama Ustaz Hasrizal dimanifestasikan dalam naskhah yang merakam catatannya di bumi Khilafah Othmaniyah ini. Ada yang pergi ke Turki dapat pahala, ada yang pergi dapat dosa. Menentukan siapakah diri yang ingin dibawa mengembara, adalah kunci besar pada menentukan natijah yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, 'Siapa kamu menentukan cara kamu melihat'. Kesannya pula ialah, 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat'.
Situasi di Turki amat sukar difahami oleh kita melainkan kita cuba melihatnya dari dalam. Seperti seorang muarrikhun yang melihatnya dengan kaca mata sejarah. Secara ringkasnya, Turki terdiri dari dua cara hidup yang berbeza. Di Taksim misalnya, rata-rata penduduk berideologikan fahaman Laiklik (sekular). Jangan terkejut sekiranya anda melihat majalah lucah bertaburan dan pusat tarian menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka. Berbeza dengan penduduk Eyup yang bersungguh-sungguh mempertahankan keislamannya. Kalau kita keluar ke bandar sekitarnya, kita akan lihat bagaimana bandar-bandar ini seakan-akan tidak pernah mendengar tentang Atarturk, wira yang telah meragut Khilafah islam di Turki.
Saya cuba selami penderitaan muslimah di sana. Tatkala tudung semakin menjadi kebiasaan tanpa makna di Malaysia, ia terus menjadi simbol pilihan IMAN dan IMPIAN di Turki. Bukan berhasrat mahu menghuraikan insiden penarikan semula kebenaran bertudung di universiti di Turki, tetapi ibrah yang ingin dikongsi adalah pada harga yang perlu dibayar oleh muslimah di Turki terhadap pilihan mereka.
Menarik juga kalau dikongsikan serba sedikit budaya masyarakat Turki. Di Turki, jika rombongan datang meminang, jawapan si perempuan yang empunya diri, dijawab dengan kopi. Ya, si perempuan akan keluar menghidangkan kopi. Jika dia setuju, maka kopi itu dicampur gula. Jika tidak setuju, kopi pahitlah jawabnya. Malanglah nasib si lelaki sekiranya si perempuan terlupa meletakkan gula dengan tidak sengaja .
Budaya menghafal Al-Quran di Turki mungkin sedikit berbeza. Mereka memulakan hafalan dengan menghafal muka surat pertama juzuk satu. Diikuti muka surat pertama juzuk dua, tiga, empat hingga ke-30. Selesai 30 muka surat, mereka akan berpatah balik dan mula menghafal muka surat terakhir juzuk satu diikuti dengan mukasurat terakhir juzuk dua, tiga hinggalah ke muka surat terakhir Al-Quran. Sejurus itu, mereka akan berpatah ke belakang dan mula menghafal muka surat kedua setiap juzuk dan kemudiannya berpindah ke muka surat kedua terakhir di setiap juzuk. Akhirnya, hafalan mereka menjadi lengkap di tengah-tengah setiap juzuk. Kaedah ini nampaknya pelik, namun ia menjadikan hafalan mereka begitu kuat dan segera dihabiskan sebab anak-anak ini ghairah untuk menemukan dua bahagian yang dihafal di tengah-tengah setiap juzuk.
Pengalaman di Turki adalah cara Allah mendidik kita melihat Islam dengan penuh yakin, bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang-kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sirnanya gelita hingga terbit fajar janji-Nya.
Wallahualam.
ConversionConversion EmoticonEmoticon