#108 Kamu, Apa Yang Kamu Makan

Tajuk : Kamu, Apa Yang Kamu Makan Penulis : Ann Wan Seng Mukasurat: 260 pages Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Tertarik hati dengan sebuah buku yang berada dalam perpustakaan mini ayahanda di kampung. Buku ini ditulis oleh Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 2009 yang turut menerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2008. Pemakanan merupakan salah satu aspek yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Al Quran menegaskan Umat Islam perlu mengambil makanan dan minuman yang halal. Bukan itu sahaja, ianya perlulah toyyiban yakni makanan yang baik, selamat serta memberikan manfaat kepada tubuh dan kesihatan. Hanya manusia yang menjauhi makanan dan minuman haram yang memahami pegertian takwa dan merasai nikmat iman. Jelas sekali makanan dan minuman yang diambil seseorang adalah cerminan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Makanan juga menjadi asbab terhalangnya hubungan seseorang dengan Allah yang boleh membawa mala petaka di dunia dan juga akhirat. Islam melarang dengan tegas ummatnya makan makanan haram yang bila diambil oleh seseorang akan menjadi darah daging dalam tubuh serta menjadi salah satu penyebab doa seseorang tidak dikabulkan Allah SWT. Buku ini banyak membawakan dalil-dalil quran dan hadith sahih, antaranya surah al A'raf 157, " Allah menghalalkan bagi kamu segala yang baik dan mengharamkan bagi kamu segala yang buruk." Dalam buku ini juga dikupas hikmah larangan memakan babi dan minuman arak yang membawa mudharat kepada kesihatan berdasarkan beberapa kajian saintifik. Yang menariknya dalam buku ini banyak menceritakan bimbingan Rasulullah dalam memilih makanan, etika makan dan minum, sifat dan cara Nabi makan, menu makanan minuman serta herba kegemaran Nabi. Ann Wan Seng turut mengolah pola makanan harian Rasulullah yang boleh kita teladani iaitu memulakan awal pagi dengan air putih yang dicampur madu. Dalam Al Quran, madu merupakan as Syifaa(ubat penawar) yang mengikut kajian pakar kesihatan moden mendapati madu berfungsi untuk membersihkan perut dan mengaktifkan usus. Sarapan pagi, Rasulullah membiasakan diri memakan 7 biji kurma ajwa' yang mencegah daripada keracunan. Menjelang tengah hari, menu makanan Rasulullah biasanya cuka dan minyak zaitun. Kedua-duanya dimakan dengan makanan asas iaitu roti atau menu lain. Cuka dan minyak zaitun berdasarkan kajian bermanafaat untuk mencegah kerapuhan tulang, penyakit lupa, melancarkan sembelit, menyingkirkan kolestrol dan melajukan pencernaan serta meningkatkan metabolisme diri. Menu utama makan malam Rasulullah adalah sayur-sayuran yang kaya dengan zat. Rasulullah memberi contoh tidak terus tidur selepas makan tetapi mengisinya dengan ibadah solat malam dan aktiviti lain yang bermanafaat supaya makanan mudah untuk dicerna. Buku ini memang kaya dengan tips pemakanan berlandaskan syariat Islam yang berasaskan pimpinan sunnah Nabi dan Al Quran. Senang faham dan menarik bila disertakan dengan dalil-dalil bersesuaian berserta kajian saintifik yang menyokong fakta. Sangat dekat dengan kita kerana makan adalah aktiviti wajib setiap insan. Sesungguhnya sebaik-baik contoh tauladan untuk ummat Islam ialah baginda Rasulullah . Setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan cara hidup baginda mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Bagi peminat kambing, ada diceritakan ramai ummat Islam di Malaysia takut hendak memakan daging kambing kerana dipercayai menjadi punca kepada penyakit darah tinggi dan sakit jantung. Punca penyakit ini bukan berpunca daripada daging kambing sebenarnya. Ia sebenarnya berpunca daripada cara makan yang tidak betul. Umat Islam di China, Arab dan Uzbekistan sangat mengemari daging kambing tetapi tidak berdepan dengan ancaman penyakit tersebut. Di China, daging kambing diseimbangkan dengan meminum teh Cina. Orang Arab selepas makan kambing, mereka minum teh yang dicampur daun pudina tanpa gula. Penduduk Uzbekistan pula selepas makan kambing, mereka akan makan yogurt. Orang India juga kuat makan daging kambing yang mana selepas itu mereka akan minum susu masam atau tairu. Semoga dengan memiliki buku ini akan memberikan kesedaran kepada kita dalam menjaga pemakanan seharian yang sangat berkait rapat dengan amal ibadat kita jua. Kita mempunyai banyak pilihan tetapi pilihlah makanan yang mengandungi khasiat dan barokah yang membawa kebaikan kepada kita fiddunya wal akhirah. Wallahu'alam.
Previous
Next Post »