Sekali lagi, kisah kontroversi lama dibuka kembali. Bukan niat mengungkit sejarah, tetapi demi masa depan anak bangsa yang lebih indah. Bukan niat mencari yang salah, tetapi demi tamadun manusia yang tidak seharusnya musnah. Buku ini mengandungi pemikiran lapan orang cedikiawan (pakar bidang bahasa, sains dan matematik) terhadap tragedi besar yang akan berlaku pada anak-anak generasi akan datang, khususnya kepada 5 juta orang pelajar yang bersekolah sekitar tahun 2000 hingga 2010. Isu 'Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris' (selepas ini disebut sebagai PPSMI) bukan isu baru. Dasarnya dicadangkan seawal tahun 2000 dan ditolak oleh majoriti ahli akademik pada waktu itu. Bantahan awal terhadap PPSMI tidak mendapat perhatian daripada pihak pelaksana dasar, khususnya Kementerian Pendidikan pada waktu itu. Bahkan PPSMI tetap dilaksanakan mulai tahun 2003. Buku ini terbitkan ekoran bantahan demi bantahan terhadap PPSMI yang ketara dalam kalangan warga akademik, khususnya di sekolah dan universiti. Buku ini ditulis selepas pelaksana dasar (dibaca: Menteri) mempertikaikan "Mengapa sekarang (selepas PPSMI dilaksanakan) baru nak bantah, mengapa tidak bantah dari awal?". Dalam nada sinis, ahli akademik menjawab, "Kami telah membantahnya, wahai Dato'. Kami membantahnya sejak tahun 2000 sebelum ia dilaksanakan. Masalahnya, kami tidak membantah di jalanan. Kami para ilmuan membantah melalui seminar dan persidangan demi persidangan. Sayangnya, berapa ramai pembuat dasar yang sudi menghadiri dan mendengar perbincangan kami selain daripada menjadi perasmi pemotong riben dan pulang selepas jamuan ringan? Apabila bantahan kami sekian lama tidak didengari, mungkin akan tiba masanya ilmuan menjadi pendemonstrasi jalanan" Berbalik kepada kandungan buku ini, PPSMI dilaksanakan atas alasan lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan menyebabkan kadar pengangguran graduan melonjak tinggi pada tahun 2000. Justeru mata pelajaran sains dan matematik di sekolah dijadikan medium supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Tidak ada ahli bahasa, intelek Melayu atau sesiapa sahaja yang siuman yang menentang usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, khususnya untuk pelajar Melayu. Tuduhan mengatakan ahli bahasa menentang bahasa Inggeris (dibaca: PPSMI) kerana sikap fanatik bahasa (orang Melayu hanya perlu berbahasa Melayu) adalah satu fitnah dan pembohongan besar yang berniat jahat. Hakikatnya, mereka yang menentang PPSMI tidak menentang bahasa Inggeris. Mereka bersetuju dengan kepentingan menguasai bahasa antarabangsa itu. Mereka menentang PPSMI hanya kerana perlaksanaannya menyalahi konsep pendidikan yang sebenar. Meringkaskan hujah ilmiah 'mengapa kami bantah' yang terkandung dalam buku ini, ia mencatatkan fakta penting yang wajib difahami: 1. Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris wajib ditangani melalui penambahan waktu belajar bahasa Inggeris dan pengukuhan mata pelajaran tersebut. Mata pelajaran sains dan matematik tidak ada kena mengena dengan pembelajaran bahasa. Ia boleh diibaratkan 'orang sakit kaki diberi makan ubat orang sakit jantung'. Mati terus si pesakit jadinya. Dalam kes PPSMI, pesakitnya ialah 5 juta orang pelajar sekolah tahun 2003 hingga 2010. Diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan pada waktu itu, 5 juta pelajar terjejas kerana PPSMI. 2. PPSMI bukan hanya isu sains dan matematik. Kita melihatnya sebagai 2 mata pelajaran sahaja sehingga ada yang berkata "alah, 2 mata pelajaran saja dalam BI, yang lain kan masih dalam BM". Hakikatnya, dua mata pelajaran ini hanya di sekolah rendah. Masuk ke peringkat sekolah menengah dan IPT, semua mata pelajaran berkait sains dan matematik akan diinggeriskan. Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Teknologi Maklumat, Sains Komputer (selain bahasa Inggeris dan Kesusasteraan Inggeris). Analisis mendapati, hanya 19 daripada 79 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM akan diajar dalam bahasa kebangsaan, manakala 60 mata pelajaran selebihnya akan diinggeriskan. Ini menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dan menyalahi serta menyingkirkan terus Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ini sudah berlaku di semua IPTS. Bahasa Melayu sudah terbuang dan hanya pelengkap untuk mata pelajaran tertentu sahaja. 3. Sains, Kesihatan, Kejuruteraan dan Teknologi (ringkasnya, SAKTI) bukanlah bidang baru di Malaysia. Sepanjang empat desawarsa, Malaysia telah melahirkan ramai sarjana bertaraf dunia dalam bidang SAKTI. Ini menjadikan bahasa Melayu ikut berkembang maju secara fenomenal. Hanya mereka yang tenggelam dalam budaya malu berbahasa Melayu sahaja yang menafikan dan tidak mahu mengakui hakikat ini. Mereka harus sedar sebahagian besar negara maju sekarang bukannya negara yang mengamalkan sistem pendidikan dalam aliran Inggeris! 4. Pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris seharusnya dibuat melalui mata pelajaran berbentuk kesusasteraan, bukan sains dan matematik. Jikalau sudah bertahun-tahun belajar bahasa inggeris tetapi masih lemah, itu bermaksud kaedah mendidik berada dalam fokus yang salah. Maka, yang salah itu yang perlu dibaiki, bukan mengganggu mata pelajaran lain pula. Tidak salah memperkenal mata pelajaran Sejarah misalnya dlam bahasa inggeris. Kemahiran membaca adalah asas penguasaan sesebuah bahasa. Jadikan mata pelajaran 'membaca' sebagai medium, bukan mata pelajaran 'uji kaji' mahupun 'mengira'!
5. Menentang PPSMI bukan bermaksud menentang perubahan. Kita boleh mencuba kaedah baru kerana ia digalakkan, teta[i bukan dalam bidang pendidikan. Sehingga kini belum ada bukti dari mana-mana pelusuk dunia, mengajar sains dan matematik dalam bahasa kedua lebih berkesan daripada bahasa ibunda. Sekolah-sekolah jenis kebangsaan tidak pernah menerimanya kerana mereka tahu akan kegagalannya. Malangnya Sekolah Kebangsaan terus menjadi mangsa. Menjalankan eksperimen terhadap manusia itu sangat berbahaya kerana kita hanya mengetahui kesalahannya selepasa satu generasi manusia terkorban.
6. Globalisasi bukan bermaksud kita perlu mengikut arus menukar bahasa Melayu kepada bahasa antarabangsa secara keseluruhannya. Globalisasi dalam konteks bahasa dan budaya ialah jikalau kita mahu terus hidup dalam dunia global ini, kita wajibpertahankan keperibadian kita, identiti kita, nilai murni kita, budaya kita, bahasa kita. Dalam arus globalisasi yang kuat, yang akan dapat bertahan ialah mereka yang dapat berdiri tegakdengan identitinya sendiri. Mereka yang tidak bertahan akan hilang diri, hilang rupa, hilang budaya dan hilang bahasa. Maka mempertahankan bahasa iaah perkara yang sangat penting.
7. Pendidikan dalam bahasa Melayu bukan punca pengangguran, tetapi keadaan ekonomi, sikap majikan yang memandang serong dan prasangka buruk serta memilih bangsa ialah penentu utama. Masalah pengangguran pada tahun 2000 adalah akibat kegawatan ekonomi yang dirasai di seluruh pelosok dunia. PPSMI hanya wadah pihak berkenaan melindungi diri dan menyalahkan graduan, kononnya lemah penguasaan bahasa Inggeris sehingga menganggur sedangkan keadaan ekonomin semasa dilindungi dan tidak didedahkan.
Cukuplah 7 rumusan daripada puluhan sebab lain mengapa PPSMI dibantah. Selain daripada merosotnya pencapaian pelajar luar bandar, kajian tentang manipulasi keputusan peperiksaan pelajar, manipulasi gred, pengurangan silibus sains dan matematik yang direndahkan kuantitinya (supaya pelajar mudah lulus), jatuhnya pencapaian pelajar Malaysia dalam ujian peringkat antarabangsa (seperti ujian PISA dan TIMSS) turut didedahkan dalm buku ini.
PPSMI harus diteladani. Satu masa nanti, dengan kebobrokan sistem yang ada, tidak mustahil PPSMI akan datang kembali. Cukuplah sekali ia menjadi tragedi dalam peradaban Melayu moden. Cukuplah sekali ia cuba memusnahkan masa hadapan anak-anak di sekolah. Jangan ulangi kesilapan ini lagi. Prof. Dr. Sahharir, seorang pakar matematik tersohor negara sendiri pernah berkata "Jangan dianugerahkan apa-apa pingat kepada saya selagi PPSMI tidak dimansuhkan segera" ketika beliau dicalonkan sebagai penerima anugerah tokoh matematik negara. Jikalau ilmuan sudah menolaknya, bagaimana kita harus menerima?
Bahasa jiwa bangsa, malangnya bangsa itu tidak pula ingin menjiwai bahasanya. Semoga perkongsian ini membawa kebaikan kepada anak-anak, generasi akan datang. Amin.
ConversionConversion EmoticonEmoticon