#44 Storms of My Grandchildren

Tajuk: Storms of My Grandchildren Pengarang: James E. Hansen (2009) Penerbit: Bloomsbury Press Bilangan Muka Surat: 304
Buku ini ialah hasil tulisan Prof. Dr. James Hansen, seorang pakar Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Columbia. Beliau mula memperjuangkan isu pemanasan global selepas dikurniakan seorang cucu. Katanya, dia tidak mahu satu hari nanti cucunya berkata, "Datuk sudah tahu apa yang terjadi, tetapi tidak melakukan apa-apa"... Dalam buku ini, Hansen menyatakan bahawa perubahan iklim dunia menyebabkan peningkatan bencana alam; tsunami, gempa, banjir dan taufan. Eksploitasi melampau terhadap hasil bumi adalah ancaman kepada bumi dan manusia. Hansen menggesa agar pembakaran bahan api fosil dikurangkan kerana ia punca utama perubahan iklim dunia. Pengeluaran karbon dalam atmosfera perlu ditetapkan kepada 350ppm atau lebih rendah. Beliau sangat menyokong penggunaan tenaga nuklear dan menolak apa yang diistilahkannya sebagai geoengeenering. Hansen berpendapat banyak kuasa besar hanya berpura-pura dengan pelbagai deklarasi alam sekitar yang ada. Protokol Kyoto misalnya, masih lagi gagal dipatuhi oleh kuasa besar seperti US yang menjadi pengeluar gas rumah kaca dan karbon dioksida terbesar di dunia. Meningkatnya karbon dioksida menyebabkan pemanasan global memuncak, sekali gus menambah kadar musim kemarau, meningkatkan sejatan air dan merisikokan hujan lebat serta banjir besar. Dalam gaya penceritaan ala biografi yang mudah, Hansen mendedahkan tentang paksaan yang dilakukan oleh manusia terhadap perubahan iklim bumi. Perjanjian Faustian juga ibarat perangkap makan tuan apabila cubaan menyelamatkan bumi menjadi pembunuh dalam diam. Menariknya buku ini, ia bukan sahaja bercerita tentang bencana alam dan ancaman terhadap bumi. Dari awal sehingga bab terakhir, ia turut mengkritik dengan keras sikap pemimpin dunia (khususnya US) yang disifatkan sebagai greenwashing; cakap tidak serupa bikin. Isu alam sekitar hanya dijadikan modal kempen pilihan raya yang disenyapkan selepas pilihan raya berlalu. Saranannya, generasi muda dan orang awam turun ke jalan raya kerana tempat seperti itu (jalan raya) memiliki kesan tersendiri dalam menarik pandangan pemimpin yang enggan menoleh ke hadapan. Baginya, tentangan orang awam adalah jalan terbaik untuk mana-mana negara di seluruh dunia (nota: kecuali di Malaysia, hahaa). Kritik terhadap buku ini hampir tidak ada, kerana setiap fakta yang tercatat datang dari sumber berautoriti; hasil penyelidikan, jurnal berimpak tinggi dan index bertaraf antarabangsa. Namun itu bukan bermaksud kritik sosial terhadap masyarakat boleh dinafikan. Semua pemimpin di seluruh dunia seharusnya menjadi individu paling banyak membaca supaya maklumat sebegini mudah disebarkan kepada semua rakyat di bawah pimpinannya. Kepentingan alam sekitar seharusnya tidak ditenggelamkan oleh politik dan kuasa peribadi. Besar harapan kita agar pemimpin masa hadapan tidak lagi sekadar menjadi perasmi untuk majlis-majlis ilmu yang ada. Pemimpin perlu ikut serta, duduk dan mendengar segala resolusi yang dibentangkan demi kesejahteraan bersama.Sekali pun misi menyelamatkan bumi sudah terlewat, harapan sentiasa masih ada. Maklumat Tambahan: Buku ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh PTS Professional; terbitan tahun 2011.
Previous
Next Post »