#49 Dua Wajah (Tahanan Tanpa Bicara)

Tajuk: Dua Wajah (Tahanan Tanpa Bicara) Pengarang: Syed Husin Ali (2008) Penerbit: Strategic Information and Research Development Centre Bilangan Muka Surat: 176
Buku ini adalah sebuah autobiografi yang membawa kita jauh ke tahun 1970an, mengheret bersama imbasan kenangan seorang tahanan tanpa bicara; ISA. Kisahnya bermula dengan demonstrasi mahasiswa UM, UKM, USM, ITM (sekarang UiTM) dan Politeknik Ungku Omar, membantah kenaikan elaun anggota Parlimen dari RM1000 ke RM1500 sedangkan pada masa yang sama para petani di Baling berhadapan dengan krisis kemiskinan, kebuluran dan kenaikan harga barang 1974. 3 Disember 1974 menyaksikan bermulanya demostrasi mahasiswa yang berhimpun di Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka). Perhimpunan itu kemudiannya menjadi pencetus kepada siri demonstrasi mahasiswa yang lain. Sokongan Syed Husin Ali kepada aktivis mahasiswa pada ketika itu membawa kepada penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Buku ini secara rinci menceritakan pengalamannya sebagai tahanan tanpa bicara selama 6 tahun. Sepanjang tempoh tahanannya di Kem Kemunting, beliau berhadapan dengan seksaan mental yang bukan sedikit. Selain kerap tidak dibenarkan tidur, bilik tahanan yang kotor dan pernah diludah oleh penguasa, beliau juga didesak menandatangani pengakuan bersalah. Keengganannya menandatangani pengakuan bersalah itulah yang 'merantainya' sebagai penghuni Kem Kemunting selama 6 tahun. Peluang bagi membela diri? Tidak pernah ada. Mengisi ruang masa dalam kem tahanan dengan aktiviti membaca dan menulis, Syed Husin berjaya mengumpulkan banyak catatan sehingga ia dibukukan. Bersama dengannya dalam tahanan ialah beberapa tokoh politik tersohor tanah air, termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya gemar mengajar tajwid serta sentiasa menjadi imam solat kepada tahanan yang lain. Syed Husin sendiri mengambil peluang mengajar tahanan lain menulis dan membaca. Bagaikan membaca sebuah novel, autobiografi ini membuai emosi pembaca dengan cetusan rasa kecewa, sedih, terpinggir dan sesekali lucu dengan setiap kisah yang digarap. Setiap kisah tidak dilakar dengan kebencian, bahkan sebenarnya mengajak kita berfikir; adil tidaknya seseorang yang ditahan atas kesalahan yang tidak dinyatakan. ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012, 4 tahun selepas buku ini diterbitkan. Namun banyak pengajaran dapat dikongsi daripada pengalaman mereka yang pernah terpenjara. Meminjam kata-kata Laksamana Sunan (iklan buku lain la pula, hehe), "biar tersilap ampun, jangan tersilap hukum", seharusnya ISA menjadi pengajaran paling berkesan kepada kita. Sebaik-baik hukum Tuhan kita abaikan, bahkan kita julang hukuman yang diwariskan oleh penjajahan. Harapan sentiasa ada. Semoga generasi akan datang mengambil iktibar atas pengajaran yang dikongsikan. Tanya. Dengar. Bukan terus menjatuhkan hukuman tanpa memberi walau secebis ruang untuk pembelaan. Semoga kita dapat melahirkan generasi penuh pertimbangan
Previous
Next Post »