#54 Tiga Tanah Suci

Tajuk: Tiga Tanah Suci Penulis : Muhammad Isa Selamat Penerbit: Al-Falah Bilangan M/s : 198
Tiga Tanah Suci bukanlah buku pertama yang ditulis oleh Muhammad Isa Selamat, pernah juga beberapa buku yang ditulis oleh beliau sebelum ini seperti Panduan Ibadah Bermusafir: Solat Jama` & Qasar, 1001 Duka Himpunan Kisah-Kisah menyayat Hati dan macam-macam lagi. Bukan latar belakang penulis yang ingin diceritakan tetapi kandungan di dalam buku Tiga Tanah Suci ini yang ingin dikongsikan. Bagi masyarakat Muslim, tanah suci atau 'Ardhul Muqaddas' ini sememangnya tidak asing bagi mereka. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di sana. Secara umum, tiga tanah suci yang dimaksudkan adalah Makkah, Madinah Al-Munawwarah dan Baitul Maqdis. Tidak seperti buku2 terbitan DuBook Press atau Fixi yang lebih seronok untuk dibaca (mungkin), buku ini lebih kepada sejarah wujudnya tiga tanah suci tersebut dan masyarakat yang mendiaminya pada era sebelum masihi lagi. Penulis juga ingin membawa pembaca untuk menghayati keistimewaan dan keutamaan kota suci ini terutamanya bagi masyarakat muslim. Selain adab2 dan asal usul kota suci ini, Isa Selamat turut menyelitkan beberapa tempat-tempat bersejarah beserta sejarah ringkas di tiga tanah suci ini. Bagi saya yang kurang minat dengan sejarah, memang mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan namun ada beberapa pengajaran yang boleh dikaitkan dengan realiti zaman sekarang. Antaranya berkaitan sejarah penempatan di Makkah. Perang saudara antara keturunan Jurhum Mudhad dan Jurhum Qathura membawa kepada penguasaan keturunan Jurhum Mudhad terhadap kota Makkah. Beratus tahun puak Jurhum menguasai Makkah dan Ka'abah tanpa ada persaingan sehingga timbul berbagai penyelewengan yang semakin hari semakin parah. Memang sudah menjadi kebiasaan di mana-mana kuasa pemerintahan yang terlalu lama tanpa ada sebarang tentangan dari mana-mana pihak, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa akan terjadi. Bukan saja terjadi pada zaman dahulu, malah realitinya boleh dilihat pada masa sekarang. Bagi mereka yang berpeluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, saya sarankan untuk membaca buku ini sebagai maklumat tambahan dan supaya tidak terpinga-pinga dengan tempat2 sejarah disana. Sekurang-kurangnya boleh lah berkongsi cerita dengan jemaah yang lain. Wallahualam.
Previous
Next Post »