#58 Cerpen terbaik 2014

Tajuk: Cerpen terbaik 2014
Penyunting : Wan Nor Azriq
Penerbit: Fixi
Bilangan m/s: 245


Cerpen Terbaik 2014 merupakan usahasama Buku Fixi dan Putrajaya International Book Fair. Untuk edisi pertama, novelis dan penyunting Wan Nor Azriq telah memilih 18 Cerpen (termasuk dua dalam bahasa inggeris) yang telah terbit di pelbagai media Malaysia sepanjang 2014 antaranya dalam majalah Dewan Budaya, akhbar Berita Minggu, majalah Dewan Kosmik dan lain-lain. Buku ini hanya dicetak sebanyak 3000 unit sempena KLIBF 2015 dan takkan dicetak semula.

Cerpen merupakan identiti sastera Malaysia bak kata Wan Nor Azriq. Perjalanan tradisinya sentiasa dinamik dan bergerak. Bahkan selepas tahun 80-an lebih ramai cerpenis yang lahir berbanding novelis. S.M. Zakir contohnya masih konsisten menulis cerpen walaupun sudah menghasilkan sebuah novel. Kenapa agaknya negara kita sangat subur dengan cerpen? Antara faktor paling mudah: waktu. Kita nak baca sesuatu yang mudah dan cepat.

Antologi ini mengisahkan 18 cerita pendek dari 18 penulis yang berbeza. Bukan sahaja melayu, kaum cina dan india juga antara suara baru dalam penulisan antologi ini. Kebanyakan dari penulis menggunakan garapan imaginasi mereka sebagai isi utama dalam penulisan. Kadang-kadang dunia imaginasi itu tidak semestinya terlalu futuristik seperti dalam cerpen Lee Kok Chih- Insomnia di Rumah Terbalik dan cerpen Julya Oui - Best Kept Secret, tetapi ia boleh saja dekat dengan kehidupan seharian misalnya keinginan untuk mengabdikan kecantikan itu seperti dalam cerpen Mohamad Zakri Zakaria- Patung.

Pada pandangan saya yang sudah lama meninggalkan dunia penulisan sejak SPM lagi, penulis baru yang majoritinya dalam kalangan remaja ini pandai menggunakan bahasa dalam penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Ditambah dengan perkataan urban dan bombastik memang kena dengan jiwa remaja hari ini.

Tak dinafikan ada cerpen yang sarat dengan pengajaran untuk diambil iktibar, namun ada juga cerpen yang agak kosong seolah-olah ingin melayan perasaan penulis tanpa memikirkan moral atau value yang boleh dicedok oleh pembaca itu sendiri. Atau mungkin moral bukan segala-galanya dalam antologi tetapi pengalaman pembacaan itu yang harus dipertimbangkan.

Bagi yang meminati cerpen atau ingin bertukar angin dari membaca novel-novel berkisarkan cinta, buku ini mungkin boleh jadi peneman yang baik untuk anda. Bukan sahaja boleh meneroka imaginasi penulis, tetapi unsur saspen seperti dalam cerpen Bakso karya Sijasad memang menarik perhatian pembaca. Sesekali membaca buku terbitan Fixi apa salahnya.
Previous
Next Post »