#59 Nota Fikir Untuk Zikir

Tajuk: Nota Fikir Untuk Zikir Penulis: Pahrol Mohd Juoi Penerbit: Galeri Ilmu Muka surat: 169

Kepada yang pernah membaca tulisan ustaz pahrol, tidak dapat dinafikan lagi beliau berkebolehan menulis dalam pelbagai genre tambahan beliau sangat berkeupayaan mengolah sesuatu persoalan daripada dimensi yang berbeza dan memberikan persepsi baru terhadap perkara yang disentuhnya. Dalam bahagian pertama, kita disajikan kembali dengan sepuluh kisah yang pernah didendangkan sewaktu kecil dahulu seperti si tanggang, arnab dan kura-kura, batu belah batu bertangkup dan sebagainya. Melalui bahagian kedua, penulis mengajak pembaca merenungi dan menekuni segala kejadian alam ini. Terlalu banyak yang dpt kita pelajari dari alam ini. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan alam ini dengan sia-sia. Dalam bahagian ini juga, penulis berkongsi rahsia tentang keajaiban penciptaan unta. Bahagian ketiga memuatkan mutiara kata yang berharga yang menggambarkan kebijaksanaan manusia sepanjang zaman. Kata-kata ini dapat memberi rangsangan kepada kita supaya sentiasa bersikap positif, memberi lebih baik dari menerima dan pemurah serta selalu ingin melakukan amal jariah. Buku ini ditulis dengan mesej yang jelas. Sesungguhnya zikir tanpa fikir melahirkan insan yang beku,kaku dan mundur walaupun tampak baik tingkah laku. Fikir tanpa zikir akan membentuk manusia yang aktif,dinamik tetapi merosakkan dirinya dan orang lain dengan pelbagai kemungkaran dan kejahatan. Renungilah dan tekunilah. Pada cerita dulu-dulu, ada jejak iktibar yang perlu disusuri semula. Pada alam ciptaan Tuhan, ada pengajaran yang dapat diambil. Terserahlah kepada kita melihat sesuatu, bergantung pada siapa diri kita. Disarankan bacalah buku ini demi memantapkan dan mengkayakan lagi fikir dan zikir ummat ini. Dengan penggunaan gaya bahasa yang mudah dan santai mampu mengocak minda dan jantung pembaca. Allahua'lam.
Previous
Next Post »