#40 Eat That Frog!

Tajuk : Eat That Frog! Penulis : Brian Tracy Penerbit : PTS MukaSurat : 125  


Makan katak. Katak adalah binatang yang mengelikan dan lansung tidak menyelerakan, bukan? Ia hanyalah satu perumpamaan yang digunakan oleh penulis. Brian Tracy meletakkan katak sebagai simbolik untuk menggambarkan tugas, tanggungjawab dan amanah yang perlu kita selesaikan. Ia sesuatu yang mesti kita telan walaupun ia payah dan menggelikan. Eat That Frog memberikan jawapan kepada persoalan yang sering kali menghantui diri kita saat terpandang katak itu. Penulis berjaya mengemukakan 21 teknik praktikal yang mudah untuk diaplikasikan bagi membunuh kemalasan dan sikap suka bertangguh yang menghalang diri kita dari menjadi orang yang cemerlang. Brian Tracy juga menegaskan tidak ada yang mustahil untuk kita memakan katak walau sehodoh mana pun ia. Dengan kata lain, secara perumpamaannya kita sememangnya mampu untuk membereskan semua tugas yang perlu kita laksanakan. Begitu banyak yang perlu kita lakukan dalam waktu yang begitu singkat. Namun, sangat sedikit masa yang kita ada. Katak adalah simbolik kepada tugas yang terbesar dan paling penting. Tugas ini memberikan impak positif yang terbesar dalam hidup kita. Namun, tugas ini selalunya dilengah-lengahkan dan kita tak teruja mahu menyelesaikannya. #01. Peraturan pertama memakan katak: Sekiranya kita perlu makan dua ekor katak, makanlah yang paling hodoh dahulu. • Sekiranya kita mempunyai dua tugas penting, mulakan dengan tugas yang paling besar, paling penting, dan paling susah dahulu. Disiplinkan diri kita bagi memulakan tugas itu serta-merta. Siapkan tugas itu terlebih dahulu sebelum memulakan tugas yang lain. #02. Peraturan kedua memakan katak: Sekiranya kita perlu makan seekor katak hidup-hidup, makanlah dengan segera. Tiada gunanya sekadar duduk dan merenung katak itu lama-lama. • Selesaikan tugas yang paling penting pada setiap pagi. Itulah kunci kepada prestasi terhebat dan produktiviti tertinggi. Jadikan 'makan katak' sebagai rutin harian sebelum melakukan perkara lain. Jangan berfikir panjang untuk 'makan katak' dan jangan bertangguh melakukan tugas yang penting. Daripada 21 cara yang dianjurkan oleh penulis, disenaraikan rumusan yang boleh diambil dari secara ringkas. 1. Set the Table Hanya 3 peratus daripada orang dewasa mempunyai matlamat yang jelas dan bertulis. Mereka yang berada dalam golongan ini dapat menyelesaikan segala tugasannya 5-10 kali ganda daripada golongan yang tidak peduli dan tidak pernah mengambil masa untuk menulis apa yang mereka mahu. Ada beberapa langkah untuk menyediakan meja anda: 1) Tentukan apa sebenarnya yang kita mahukan : fahamkan apa matlamat dan objektif. 2) Tulis! : Fikirkan pada kertas, bukan dalam minda sahaja. 3) Letakkan deadline : Matlamat tanpa deadline tidak mempunyai sebarang perhatian. 4) Buatkan senarai apa yang perlu anda buat untuk mencapai segala matlamat anda : Senarai akan memberi gambaran visual tentang perkara besar yang anda akan lakukan. 5) Susunkan senarai sehingga menjadi plan: Susun semua senarai anda sehingga menjadi 6) Bertindak Serta-Merta : dalam mencapai kejaan, perlaksanaan adalah anak kuncinya. 2. Plan Every Day In Advance Pernahkah anda mendengar orang bertanya soalan kuno “Bagaimana anda makan seekor gajah?” Jawapannya ialah secara sedikit-sedikit. Bagaimana kita makan katak yang paling besar dan hodoh? Lantas, bagaimana pula caranya kita menyelesaikan masalah kita yang besar? Samalah juga jawapannya, dengan membahagikannya secara sedikit-sedikit dengan spesifik dan menyelesaikan satu per satu. 3. Practice Creative Procrastination Memang masa yang kita ada sekarang selalu tidak mencukupi untuk melakukan sesuatu yang kita suka. Dan semua orang pernah menangguh-nangguhkan kerja. Bezanya antara orang yang berprestasi tinggi dengan orang yang berprestasi rendah ditentukan oleh apa yang mereka pilih untuk ditangguhkan. Pastikan kita mengenalpasti antara prioriti dan posterioriti. 4. Use the ABCDE Method Continually Berfikir di atas kertas, tulis senarai tugasan yang kita ada. Kemudian labelkan A, B, C, D, E pada setiap perkara dalam senarai itu. Tugas A adalah tugas yang sangat penting dan perlu kita lakukan. Tugas B adalah tugas yang patut kita lakukan. Tugas C pula sesuatu yang mungkin elok dilakukan dan tidak memberikan impak signifikan samada kita melakukan ataupun tidak. Tugas D pula tugas yang dapat diagihkan kepada orang lain. Dan Tugas E pula adalah tugas yang dapat dihapuskan sama sekali bila ia tidak relevan lagi. 5. Focus on Key Result Hukum kejayaan yang pertama adalah konsentrasi. Tumpukan seluruh tenaga kepada satu matlamat dan terus pergi kepada matlamat itu tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri. Apabila sumber fizikal dan mental difokuskan, kuasa untuk menyelesaikan masalah akan berganda dengan banyaknya.

Daripada 21 bab dalam buku ini, saya hanya kongsikan 5 daripadanya untuk memberi peluang pada anda semua pula untuk turut membacanya. Amat bermanfaat untuk kita. Tapi, apa yang membuatkan saya seronok ialah idea-idea yang dilontar oleh penulis biasa-biasa sahaja, tapi boleh dipraktikalkan terus. Bagaimanapun, ia memerlukan istiqomah dan mujahadah yang berterusan.


Selamat Membaca.
Previous
Next Post »