Tajuk: Arus Tajdid: Fikrah Merentasi Jemaah
Penulis: DrMaza
Penerbit: Karya Bestari
Pages: 25
Penulis: DrMaza
Penerbit: Karya Bestari
Pages: 25
Buku ringkas yang lahir daripada teks ucapan DrMaza sempena Forum Tajdid II anjuran Jabatan Psikologi, UIAM.
Arus tajdid adalah arus untuk menyedarkan umat kembali pada Quran dan Sunnah. Di dalam risalah ini, DrMaza cuba meluruskan kefahaman ekstrim jemaah-jemaah atau kumpulan yang merasakan mereka sahaja yang paling betul dan paling syar'ie. Sesungguhnya, jemaah itu hanyalah alat dan Islam itulah matlamat. Bukan syarat sah dakwah untuk seseorang terlibat dengan organisasi atau jemaah tertentu.
Risalah ini juga mengecam amalan hizbiyyah (sikap kepuakan atau kepartian). Sikap hizbiyyah menjadikan golongan tertentu mengukur betul atau salah sesuatu dengan berpandukan pandangan jemaah. Dalil Quran Sunnah ditafsirkan agar seiras dengan kehendak jemaah, jauh dari tafsiran ilmiah. Hizbiyyah juga menjadikan ahlinya taksub dan hanya bersandarkan keputusan jemaah atau keputusan syura sekalipun menyanggahi nas. Kesannya dakwah pada Quran bertukar menjadi dakwah kepada jemaah serta menjadikan organisasi atau jemaah islam berbalah merebut mad'u.
Kata Al-Buti dalam Al-Jihad fi Al Islam, "Sesungguhnya dakwah yang difahami oleh kebanyakkan jemaah islamiah hari ini tidak lebih daripada berkisar sekadar anggota mereka".
Menyertai mana-mana jemaah hanya soal ijtihad bukan kewajipan. Tidaklah berdosa andai tidak bersama mana-mana jemaah dakwah. Ramai ulama-ulama besar yang tidak pun terikat pada mana-mana jemaah namun sumbangannya jauh lebih besar daripada sebarang jemaah.
Arus Tajdid mengajak kepada gerak kerja yang lebih besar dari jemaah atau organisasi. Menyertai arus ini tidak bermaksud mereka yang sudah bersama mana-mana jemaah untuk meninggalkannya, cuma perlu dipastikan bahawa organisasi tersebut tidak menyanggahi Quran dan Sunnah.
Pegangan saya, saya lebih memilih untuk bergerak kerja di dalam organisasi/jemaah/harakah/parti/etc. Organisasi menjadikan gerak kerja lebih kemas dan tersusun. Dan pada saya, organisasi pilihan saya lebih menepati tuntutan waqi' negara. Namun, organisasi saya bukanlah organisasi yang paling benar kerana kebenaran tidak pernah terkumpul pada mana-mana individu atau organisasi. Saya tetap menghargai dan mengiktiraf sumbangan mereka yang bergerak kerja tanpa organisasi atau bersama organisasi lain.
Wallahualam.
Nota Hujung:
Risalah ini boleh dibaca di drmaza.com
ConversionConversion EmoticonEmoticon